Kecederaan buat Khairul Hafiz Jantan hampir berhenti, kepercayaan keluarga dan jurulatih jadi penguat semangat
Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan mengakui pernah memasang niat untuk meninggalkan trek larian selepas episod hitam yang pernah menimpa beliau beberapa tahun yang lalu.
Beliau yang sebelum ini digelar sebagai jaguh pecut ASEAN susulan kejayaannya di Sukan SEA 2017 dilihat bergelut untuk kembali mencapai rekod larian yang memuaskan di beberapa kejohanan.
Kesukaran ini telah memanjangkan lagi kedukaan beliau selepas tidak berjaya melayakkan diri pada Sukan SEA 2021 di Hanoi awal tahun ini.
“Saya mula terfikir untuk berhenti pada tahun lepas kerana ia merupakan salah satu tahun kejatuhan buat saya selepas gagal layak ke Sukan SEA untuk awal tahun ini.
Sebabkan itulah moral saya mula jatuh tapi tempoh rehat yang diberikan oleh Cikgu Poad beri saya waktu untuk kembali bangkit dan berjaya memperbaiki prestasi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Namun, pelari berusia 24 tahun itu tidak terus mengalah dengan ujian yang dihadapi untuk terus berlatih bagi mendapatkan semula momentum cemerlangnya.
Kegagalan beliau mengekalkan kecemerlangan telah mengundang beberapa komen negatif daripada peminat sukan yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada semangat dan motivasi beliau.
“Tekanan menimbulkan kesukaran kepada atlet untuk menahan emosi kerana ramai orang meletakkan harapan kepada kita.
Tetapi atas sokongan dari orang yang masih mempercayai saya jadikan saya terus bersemangat untuk berlatih walaupun saya hampir berhenti sebenarnya selepas banyak kali cedera.”
Rekod terbaik Khairul Hafiz buat masa ini adalah menerusi catatan 10.18 saat yang berjaya dicapai oleh beliau sewaktu Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada tahun 2016.
Catatan masa tersebut telah memecahkan rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang oleh bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek selama 18 tahun.
Baru-baru ini, Khairul Hafiz telah menggalas cabaran negara di temasya Sukan Solidariti Islam Konya 2021 yang berlangsung di Turki bersama seorang lagi atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi.
Khairul Hafiz berjaya mempamerkan larian berkualiti pada temasya tersebut meskipun terkandas di pusingan separuh akhir bagi acara 100 meter.
“Saya sangat berpuas hati kerana berjaya kembali mencapai larian 10.36 saat, bukan perkara yang mudah untuk kembali mendapatkan rentak larian tersebut.
Hampir dua tahun saya tidak mencapai rekod tersebut sejak saya cedera pada Sukan SEA 2017 dan kali terakhir saya berjaya mencapai 10.20 saat adalah sebelum Sukan Asia 2018.”
Kini, besar harapan daripada peminat untuk melihat kebangkitan dari anak jati Melaka tersebut yang sedang menjalani latihan di SMK Gunung Rapat bersama jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Poad.
Tidak dapat dinafikan, kehadiran Cikgu Poad memberi impak yang besar kepada karier Khairul Hafiz.
“Saya bermula dari kosong, saya bermula dengan tempo larian yang perlahan dan tiada siapa sedar kemampuan saya kecuali Coach Poad.
Disebabkan itu saya membuat keputusan untuk terus bersama beliau untuk saya kembali berjaya.”
Cikgu Poad merupakan jurulatih yang telah bertanggungjawab sepenuhnya membawa beliau mencapai kejayaan demi kejayaan sebelum ini.
Peluang ini mampu memberi sinar baru kepada karier Khairul Hafiz menjelang temasya Sukan SEA 2023 yang akan diadakan di Kemboja.