Lambakan pelari pecut berita baik buat Haiqal Hanafi, kejayaan Azeem Fahmi jadi pembakar semangat
Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi tidak berasa cemburu dengan kejayaan rakan senegara meskipun beraksi dalam acara yang sama.
Beliau melihat perkara itu sebagai petanda positif yang akan terus mendorongnya untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam kejohanan yang akan datang.
“Saya rasa lambakan pelari pecut adalah berita yang baik bagi saya kerana saya percaya kami semua mempunyai kebolehan untuk melangkah lebih jauh.
Kami perlu mendapat pendedahan dari luar negara dan pencapaian Azeem jadikan saya lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Haiqal merupakan pemenang pingat emas bagi acara 100 meter pada Sukan SEA 2019 Filipina selepas catatan 10.35 saatnya berjaya meletakkan beliau di hadapan pelari pecut dari Thailand, Ruttanapon Sowan dengan rekod 10.49 saat.
Dalam pada itu, beliau baru-baru ini telah bertanding dalam temasya Sukan Solidariti Islam 2021 yang berlangsung di Turki bermula dari 9 hingga 18 Ogos yang lalu.
Beliau berjaya memperbaharui rekod peribadinya menerusi catatan masa 10.12 saat dengan bantuan angin yang dicapai oleh beliau.
Kejayaan ini bakal menjadi motivasi terbaik bagi pelari berusia 23 tahun tersebut untuk terus menampilkan larian bertenaga selepas ini.
“Walaupun catatan masa 10.12 saat yang saya lakukan adalah dengan bantuan angin, tetapi saya cukup berpuas hati dengan perkara tersebut.
Kerana untuk mendapatkan catatan masa sebegitu adalah suatu perkara yang sukar.”
Terdahulu, Haiqal telah bergandingan bersama pemegang rekod 100 meter negara, Azeem Fahmi serta seorang lagi pelari muda yang kian meningkat naik, Arsyad Saat dalam acara 4×100 meter pada Sukan SEA 2021 di Vietnam.
Mereka berjaya mengekalkan pingat perak yang diraih oleh skuad negara pada temasya Sukan SEA 2019 dengan catatan masa 39.09 saat.
Rekod tersebut telah memperbaiki catatan masa terbaik yang pernah diraih pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
Beliau sedang menyertai program latihan bersama jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang bertanggungjawab membimbing beliau sejak berumur 16 tahun.
Latihan yang diadakan di Sekolah Sukan Negeri Perak, SMK Gunung Rapat dilihat sedikit sebanyak memberi impak positif kepada kebangkitan Haiqal.
“Keistimewaan SMK Gunung Rapat adalah dari segi suasana dan kurang gangguan daripada luar untuk memberi lebih fokus kepada latihan.
Tambahan lagi, saya berasa lebih selesa dengan latiha yang dilakukan oleh Cikgu Poad.”
Haiqal akan bertanding pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) September ini bagi mewakili Negeri Sembilan.