Arsyad Saat tekad pecah rekod 200 meter di SUKMA, kejayaan peribadi di Sukan SEA Hanoi jadi inspirasi

509

Atlet pecut muda negara, Muhammad Arsyad Saat tekad untuk terus memperbaiki rekod peribadinya menjelang aksi di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 Kuala Lumpur yang bakal bermula September ini.

Beliau yang sebelum ini cemerlang selepas meraih tempat pertama dalam acara 100 meter di kejohanan Perak All-Comers 1 2022 bagaimanapun akan memberi fokus yang lebih kepada acara 200 meter.


“SUKMA ini saya letakkan sasaran untuk memecahkan rekod dalam acara 200 meter,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, Arsyad telah mempamerkan larian bertenaga sewaktu diberi tanggungjawab selaku wakil negara dalam acara 200 meter di temasya Sukan SEA Hanoi 2021 awal tahun ini.

Pelari berusia 20 tahun tersebut berjaya menamatkan aksi di peringkat akhir pada kedudukan keempat terbaik.

Kejayaan ini memberi keyakinan kepada beliau untuk terus memperbaiki persembahannya dalam kejohanan yang akan datang.

“Dari segi 200 meter saya semakin baik sebab kali terakhir saya beraksi dalam acara ini adalah pada tahun 2019 dan kegagalan pada waktu itu menjadikan saya sedikit trauma.

Nasihat jurulatih beri saya motivasi untuk memperbaharui rekod peribadi pada temasya Sukan SEA 2021 walaupun kali pertama turun bertanding.”

20.95 saat yang dicatatkan pada Sukan SEA 2021 merupakan pencapaian terbaiknya dalam acara 200 meter.

Tambahan pula, latihan intensif yang dijalankan di SMK Gunung Rapat bersama dua lagi atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi membantu Arsyad untuk terus cemerlang.

Pengalaman dua orang atlet yang cemerlang di peringkat Asia Tenggara ini dapat dijadikan sebagai panduan oleh Arsyad yang semakin menempa bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ASEAN.

“Kehadiran Khairul Hafiz dan Haiqal Hanafi sangat membantu dari segi sokongan moral, saya dapat belajar memperbaiki teknik larian yang lebih baik.

Perkara ini memberi kelebihan untuk saya menjadi atlet yang lebih baik di masa akan datang.”

Selain beraksi dalam acara 200 meter pada Sukan SEA 2021, Arsyad juga merupakan salah seorang ahli kuartet 4×100 meter yang telah berjaya membantu skuad negara untuk mengekalkan pingat perak dalam kategori tersebut.

Selepas ini, Arsyad akan membantu negeri kelahirannya, Johor untuk meraih pingat di temasya SUKMA Kuala Lumpur.