Ho Khek Mong yakin Justin Hoh mampu jadi pemain perseorangan utama negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang
Ketua Pegawai Operasi (COO) Purple League Sports Management, Ho Khek Mong menyuarakan keyakinannya bahawa pemain badminton muda negara Justin Hoh bakal menjadi pemain utama negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Khek Mong berkata demikian berdasarkan prestasi yang dipamerkan oleh pemain berusia 18 tahun itu yang berjaya menjuarai dua kejohanan besar sebelum ini iaitu Terbuka Croatia 2022 dan Yonex Bonn International 2022.
“Saya memang letak harapan tinggi buat Justin Hoh kerana sebelum saya bersama Purple League Sports, saya adalah jurulatih di Ampang Jaya Badminton Club yang mana beliau bermain untuk kelab itu dan dapati beliau mempunyai potensi yang cukup besar.
Beliau juga mempunyai pakej fizikal untuk jadi seorang pemain berkualiti. Saya juga ada mengikuti perkembangannya dan melihat walaupun beliau berumur 18, namun beliau sudah pun berada di kelas berbeza dalam kalangan pemain seusianya dan juga pernah menewaskan pemain yang lebih senior.
Oleh itu saya melihat dalam tempoh beberapa tahun akan datang ini, beliau akan menjadi salah seorang pemain utama negara,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau juga berkata dengan gaya permainan badminton moden yang agresif selain bijak ketika beraksi dalam gelanggan akan menjadikan Justin Hoh sebagai pemain badminton tumpuan kelak.
Dalam pada itu, Khek Mong juga merasakan prestasi pemain Malaysia yang beraksi dalam Kejohanan Dunia sebagai positif walaupun pemain beberapa tumpuan negara seperti Ng Tze Yong, Lee Zii Jia dan beberapa lagi kandas di tengah jalan.
Ketika artikel ini ditulis, Malaysia kini mempunyai satu wakil sahaja yang akan meneruskan saingan iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang layak ke separuh akhir.
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai kejohanan Badminton Purple League, Khek Mong memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan satu sidang media akan diadakan pada 7 September ini untuk mengumumkan kejohanan itu.
“Pada 7 September ini kami akan adakan satu sidang media untuk kejohanan Badminton Purple League yang mana pada sidang media tersebut kami akan dedahkan pemain-pemain dan kelab badminton yang akan menyertai kejohanan ini.”
Butiran lanjut mengenai kejohanan Badminton Purple League tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana perkara tersebut hanya akan diumumkan pada sidang media yang akan diadakan nanti.