Julang piala adalah satu bonus, tetapi pembangunan pemain lebih penting – Muhammad Firdaus

343

Ketua jurulatih skuad Piala Belia Selangor FC, Muhammad Firdaus Aziz mahu kejayaan menjulang Piala Belia 2022 seiring dengan pembangunan pemain-pemain muda kelab itu.

Menurutnya, menjulang piala itu adalah satu bonus dan beliau merasakan tanggungjawab yang lebih penting adalah untuk menggilap para pemain supaya mampu pergi sejauh mungkin.


“Sudah tentu kita mahu menjadi juara tetapi tidaklah sehingga pembangunan mereka dilupakan.

Walaupun dengan pasukan yang baru, kami akan lakukan proses yang sama untuk membantu pembangunan mereka,”

katanya.

Beliau juga bersyukur berjaya membawa pasukan Selangor menjulang piala itu selepas tujuh tahun.

Menurutnya, antara faktor yang menjadikan mereka juara adalah hubungan yang erat antara para pemain yang disifatkan seperti sebuah keluarga.

“Kejayaan ini bukan hanya diraih pada hari ini, ia adalah satu perjalanan yang jauh untuk ke tahap ini.

Mereka memang layak untuk menjadi juara dan selepas ini saya harap mereka dapat berjuang untuk Piala Presiden pula.”

Dalam pada itu, beliau bersyukur kejohanan itu kembali diadakan selepas dua tahun ditangguhkan akibat Covid-19.

Beliau berkata, saingan kompetitif seperti adalah amat penting buat pembangunan para pemain muda.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Mini Temerloh itu, pasukan Selangor berjaya menewaskan Sri Pahang FC 2-1 secara agregat