Perubahan umur Piala Belia kepada B-18 beri manfaat kepada pemain lepasan sekolah – Bahazenan Osman

600

Ketua jurulatih skuad Piala Belia Sri Pahang FC, Bahazenan Osman merasakan perubahan umur saingan Piala Belia daripada B-19 kepada B-18 merupakan satu insiatif yang baik bagi pembangunan bakat muda lebih awal lagi.

Beliau berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mewujudkan peringkat umur B-18 yang memberi manfaat buat pemain dari umur lepasan sekolah.


“Ini adalah yang terbaik buat masa ini untuk bermula daripada peringkat umur B-18 kerana kita dah lama tiada kategori tersebut.

Saya harap ia mampu mencungkil lagi bakat baru untuk kejohanan akan datang,”

katanya.

FAM sebelum ini mengumumkan pihaknya akan mengubah had umur bagi pertandingan Piala Presiden dari B-21 ke B-20 manakala Piala Belia dari B-19 ke B-18 supaya selaras dengan kitaran had umur bagi pertandingan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).

Dalam pada itu, Bahazenan merasakan bahawa pembangunan bola sepak negeri Pahang berada di landasan tepat berkat dorongan Tengku Muda Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Shah.

Katanya ia dibuktikan menerusi kejayaan pasukan bawah umur Sri Pahang yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Belia dan juga Piala Presiden.

“Kita ikut program pembangunan yang telah diatur oleh kelab dan kita dapat lihat inilah hasilnya, selepasl 18 tahun berjaya melangkah perlawanan akhir Piala Belia semula.

Saya harap beberapa pemain dalam pasukan ini akan mendapat panggilan skuad kebangsaan kerana terdapat beberapa pemain yang betul-betul berbakat.”

Sementara itu, pemain Sri Pahang, Mohamad Zulfahmi Zulkifli berkata pasukannya telah melakukan yang terbaik pada perlawanan akhir Piala Belia 2022 menentang Selangor FC namun rezeki tidak memihak kepada mereka tewas secara agregat 2-1.

Pada perlawanan itu, Zulfahmi berjaya menjaringkan gol buat Sri Pahang namun tidak berjaya membantu pasukan untuk menewaskan Selangor.

Zulfahmi juga turut berharap lebih ramai pemain Sri Pahang akan dipanggil untuk mewakili skuad B-19 negara selepas ini.