Pengalaman sebagai pemain dan jurulatih jadi panduan untuk Ahmad Haridan, pastikan pengurusan sekolah bantu perkembangan atlet
Pengetua SMK Gunung Rapat, Ahmad Haridan menggunakan sepenuhnya pengalaman beliau sebelum ini selaku seorang bekas pemain serta jurulatih sukan tenpin boling untuk memastikan perkembangan sukan di sekolahnya.
Pengurusan berkualiti yang berjaya dipamerkan oleh pihak pentadbiran sekolah ini sedikit sebanyak telah memberi impak yang positif terhadap penghasilan atlet-atlet yang mampu menggalas cabaran negara.
“Saya penggiat sukan, saya merasai apa yang jurulatih rasa apabila kurang diberi sokongan dan perhatian.
Tanggungjawab saya sebagai pentadbir untuk merangka perancangan jangka panjang dan pendek dalam melahirkan atlet yang mempunyai kemenjadian holistik dari segi akademik dan sukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Usaha-usaha yang dilakukan oleh kesemua pihak di sekolah ini semakin membuahkan hasil.
Ramai atlet yang berasal dari Perak merupakan produk keluaran dari SMK Gunung Rapat dan kebanyakan dari mereka berjaya mencipta sejarah dan rekod dalam sukan yang diwakili.
Selain pencapaian pelari pecut muda negara, Azeem Fahmi yang berjaya memecahkan rekod 100 meter kebangsaan di Colombia, bekas pemain tenpin boling, Syaidatul Afifah juga merupakan bekas pelajar di sekolah ini.
Lebih menarik, pengetua merupakan antara individu yang bertanggungjawab mengesan bakat Syaidatul sewaktu masih berada di sekolah rendah.
Selain Azeem dan Syaidatul, seorang lagi jaguh dunia, Nur Amisha Azririzal juga merupakan alumni SMK Gunung Rapat.
Amisha merupakan jaguh Muay Thai negara yang pernah merangkul kejuaraan dunia pada tahun 2016.
Sekolah dilihat memainkan peranan yang cukup besar kepada kemenjadian atlet-atlet ini bermula dari peringkat umur yang muda.
“Bagi kita sebagai sebuah sekolah, kita membentuk pelajar selama lima tahun dan dalam tempoh itu kita cuba bentuk dari segi sahsiah, akademik, kokurikulum dan sebagainya.
Hasilnya akan kita nampak selepas mereka tamat persekolahan dan kebetulan kejayaan Azeem menjadi penanda aras kepada sekolah ini.”
Selain itu, kelengkapan dari segi fasiliti juga menyumbang sebahagian besar kepada pembentukan dan pembangunan atlet yang berkualiti dan lengkap dari setiap aspek.
Dikhabarkan, SMK Gunung Rapat bakal mendapat bantuan dari Kementerian Belia dan Sukan bagi memperbaiki trek larian.
“Setakat ini kami ada semua kemudahan cuma ada beberapa yang perlu dinaiktaraf.
Ramai yang membantu kami menaiktaraf untuk menjadikan sekolah ini sebagai tempat yang sesuai untuk mendidik dan melatih anak-anak.”
Semoga dengan kewujudan fasiliti yang baru dan gah ini akan terus membantu sekolah ini dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berkualiti bukan sahaja dalam bidang olahraga malah untuk semua sukan di Malaysia.