Syaidatul Afifah gesa pemain boling negara untuk lebih komited dan berdisiplin, beri sepenuh hati untuk mencapai kejayaan

464

Bekas pemain tenpin boling negara, Syaidatul Afifah memasang impian yang besar untuk melihat skuad boling Malaysia dapat kembali menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.

Beliau yang sebelum ini cemerlang di beberapa kejohanan utama melihat pemain yang dimiliki buat masa ini belum mempamerkan kualiti sebenar sebagai seorang atlet boling negara.


“Untuk atlet-atlet boling sudah semestinya kita memerlukan lebih ramai lagi pemain berbakat yang komited, berdisiplin dan sanggup berkorban.

Tetapi saya tidak nampak pengorbanan tersebut dilakukan oleh para atlet sekarang, dalam sukan ini yang utamanya adalah menghormati jurulatih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Syaidatul percaya bahawa elemen seperti inilah akan menjadi kunci utama kepada hala tuju kejayaan seseorang atlet tersebut bukan sahaja di dalam sukan boling malah terbuka kepada semua sukan.

Jurulatih jelas memainkan peranan penting dalam pembentukan dan pembangunan kemahiran seorang atlet.

Tanpa tunjuk ajar dan bimbingan dari seorang jurulatih, atlet tersebut akan bergelut dan menghadapi kesukaran untuk melangkah dengan lebih jauh.

Tidak dapat dinafikan, akan ada percanggahan pendapat di antara jurulatih dan pemain, namun itu tidak boleh menjadi alasan untuk seseorang atlet menunjukkan sikap negatif dan tidak profesional.

“Walaupun kadang-kadang saya kurang bersetuju dengan jurulatih dulu, tetapi saya tidak pernah meninggikan suara atau menarik muka.

Saya akan dengar mana yang baik dan cuba tidak endahkan mana yang saya rasa tidak perlu.”

Beliau yang memiliki 11 tahun pengalaman dalam mewakili pasukan kebangsaan sedar akan peningkatan pemain-pemain berbakat dan berkualiti yang semakin mendapat tempat di Malaysia.

Walaupun begitu, kekurangan aspek-aspek penting ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada jangka hayat karier serta pencapaian mereka di kejohanan-kejohanan besar.

“Bakat di Malaysia memang ada, boleh main dan beraksi dengan cemerlang cuma dari segi perkara-perkara itu yang masih kurang.”

Mudah terganggu dan tidak fokus dalam memberikan yang terbaik menjadi antara punca pasukan negara tidak dapat mencapai kegemilangan seperti mana yang pernah diraih suatu ketika dulu.

Pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021, kontinjen boling negara hanya berjaya membawa pulang dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

“Kalau kita menyarung jersi kebangsaan, kita bukan sekadar menyarung sahaja tetapi prestasi tidak seberapa dan mengecewakan.

Ini menunjukkan bahawa mereka tidak beri sepenuh hati kepada sukan ini dan mungkin ada gangguan yang menyebabkan mereka gagal untuk mengekalkan fokus.”

Diharap agar sesuatu dapat dilakukan bagi menjulang kembali nama Malaysia di persada antarabangsa.

Selain cemerlang di Kejohanan Dunia 2017, Syaidatul juga pernah memenangi pingat emas berpasangan wanita dalam Kejohanan Asia 2015 di Bangkok serta merangkul pingat emas pada Sukan Asia 2018 Palembang menerusi acara trio berpasukan wanita.

Kejayaan Syaidatul perlu dijadikan pembakar semangat kepada atlet-atlet boling negara ketika ini untuk kembali menggegarkan pentas dunia.