SMK Gunung Rapat main peranan besar kepada karier Syaidatul Afifah, ingin jadi inspirasi buat atlet muda
Bekas pemain tenpin boling Malaysia, Syaidatul Afifah merupakan salah seorang atlet negara yang telah berjaya dihasilkan oleh program Sekolah Sukan Negeri Perak, SMK Gunung Rapat, Ipoh.
Bahkan, sekolah ini merupakan antara salah satu faktor yang mendorong kepada kegemilangan Syaidatul sebagai salah seorang pemain boling terkenal dunia.
Dorongan daripada guru serta jurulatih sepanjang keberadaan Syaidatul menjadi motivasi terbaik untuk beliau terus fokus kepada sukan kegemarannya.
“Saya berada di SMK Gunung Rapat sewaktu di tingkatan empat dan lima kerana sewaktu itu semua pemain boling berkumpul di sini.
SMK Gunung Rapat menyokong sepenuhnya dan memahami karier saya sebagai pemain boling, sekolah tidak menghalang saya untuk berlatih di luar untuk SUKMA dan sebagainya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Keputusan beliau berpindah ke sekolah ini merupakan keputusan terbaik bagi menjamin perkembangan kariernya pada ketika itu.
Selain sokongan moral, SMK Gunung Rapat juga lengkap dari segi fasiliti sukan serta penjagaan diet yang bersesuaian bagi memastikan setiap atlet berada di tahap terbaik.
Ini terbukti selepas kehadiran beberapa atlet negara yang berjaya dihasilkan oleh sekolah ini selain daripada jaguh pecut negara, Azeem Fahmi.
Antaranya adalah juara Muay Thai Dunia 206, Nur Amisha Azririzal juga merupakan produk kelahiran SMK Gunung Rapat.
Kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa sekolah ini memiliki segala elemen yang diperlukan oleh seorang atlet untuk mencapai kejayaan demi kejayaan di dalam sukan yang mereka wakili.
“Saya sangat menghargai peluang tersebut kerana tanpa sukan ini mungkin saya akan terganggu kerana gagal mendapatkan keinginan.
Sokongan 100% itu jugalah yang membawa saya sehingga ke hari ini.”
Beliau yang mula berkecimpung dalam sukan tenpin boling sejak dari bangku sekolah rendah percaya bahawa kejayaan yang diraihnya sebelum ini mampu menjadi teladan yang baik kepada atlet-atlet muda yang kini berada di SMK Gunung Rapat.
“Saya menyertai acara pada hari ini adalah sebagai bekas pelajar sekolah ini, kedatangan saya adalah untuk menjadi inspirasi kepada adik-adik untuk berjaya dari segi akademik ataupun sukan.
Tidak salah kalau kita belajar, sukan akan membantu kita dari pelbagai aspek seperti disiplin dan kehidupan yang sihat.”
Beliau yang kini berusia 31 tahun berasa terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab selaku alumni serta bekas atlet yang telah berjaya mengharumkan nama negara.
Syaidatul ingin melihat ramai lagi atlet berkualiti dapat dihasilkan daripada program sekolah ini dan bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Beliau merupakan antara bintang boling utama negara yang berjaya melakar kejayaan demi kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa.
Pada tahun 2017, beliau bersama rakan sepasukan berjaya memenangi pingat emas berpasukan wanita di Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas.
“Saya nak mereka melihat saya daripada seorang pemain boling dan kini bekerja sebagai pengacara, berlakon, social media influencer serta ikon sukan.
Saya mahu mereka belajar daripada aspek itu sebagai pendorong mereka untuk kekal fokus walaupun selepas meninggalkan sekolah.”
Semangat sebegini akan menjadi contoh terbaik kepada semua atlet di Malaysia untuk melihat sukan dari sudut berbza dan tidak menganggap bidang ini sebagai sebuah karier sementara semata-mata.
Selepas mengumumkan persaraan pada tahun 2020, Syaidatul kini aktif dalam bidang penyiaran dan hiburan.
Terdahulu, beliau telah membuat penampilan dalam dua siri drama televisyen, Ratu Ten Pin dan Ratu Ten Pin 2: Shalin.