Javier Jorda Ribera yakin pemain JDT III akan dapat peluang wakili skuad utama

798

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) III, Javier Jorda Ribera, percaya dengan bakat yang dimiliki anak buahnya dan percaya mereka akan mendapat peluang mewakili skuad utama JDT atau JDT II satu hari nanti.

Menurutnya, untuk menembusi pasukan JDT atau JDT II tidak mudah buat pemain muda tetapi optimis akan ada pemain yang mampu mengikut jejak langkah Arif Aiman dan juga Ramadhan Saifullah.


Ada sebahagian pemain dalam skuad ini yang pernah bermain di JDT II dan JDT IV dan saya yakin sekiranya mereka berusaha bersungguh-sungguh mereka mampu untuk ke skuad yang lebih tinggi, tak tahu bila tetapi peluang itu akan datang.

Beberapa tahun akan datang, pemain-pemain yang ada di skuad utama ketika ini akan meningkat umur, jadi pasti ada pemain muda yang akan menggantikan mereka,”

katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui akan memanfaatkan sepenuhnya pemain-pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan bagi memastikan pasukannya memenangi kejohanan Piala Presiden 2022 menjelang timbal balik perlawanan akhir menentang Sri Pahang FC esok.

Beliau juga bertekad mahu memenangi piala itu selepas lima tahun menabur bakti di kelab itu.

“Saya hanya seorang pekerja di kelab ini dan akan lakukan yang terbaik bersama para pemain esok, jadi harapan saya untuk memenangi Piala Presiden 2022.

Kami sudah bersedia untuk sebarang kebarangkalian sama ada masa tambahan atau penentuan penalti tetapi kami ke sini untuk menang bukan seri.”

Dalam pada itu, kapten JDT III, Ahmad Irfan Mohd Noor mahu membuktikan bahawa pasukan JDT adalah yang terbaik di Malaysia dari setiap peringkat umur dengan memenangi Piala Belia 2022.

Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh pasukan JDT dan JDT II di Liga Super dan Liga Perdana menjadi semangat buat mereka untuk menampilkan aksi yang lebih baik.

“Esok adalah perlawanan yang sukar untuk kami tetapi dalam bola sepak tiada apa yang mustahil, pasukan mana yang bijak mengawal permainan dan kurang melakukan kesilapan akan menjadi juara.

Saya dan rakan-rakan akan cuba mendapatkan jaringan sebanyak mungkin dan bermain bermati-matian untuk pastikan piala itu ke bumi Johor.”

Pada aksi pertama minggu lalu di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Perlawanan timbal balik akan diadakan pada pukul 8.45 malam esok (28 Ogos 2022) di Stadium Mini Temerloh, Pahang.