Sri Pahang pasukan ‘underdog’, pasukan lawan pasti akan turunkan ramai pemain JDT II esok -Mohd Yazeed

985

Ketua jurulatih skuad Piala Presiden Sri Pahang FC, Mohd Yazeed Hamzah mengakui pasukannya adalah ‘underdog’ menjelang timbal balik perlawanan akhir Piala Presiden 2022 menentang Johor Darul Ta’zim III esok.

Menurutnya, berbanding pasukan lawan, tiada seorangpun pemain daripada Sri Pahang pernah dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan.


“Atas kertas sudah tentu kami pasukan ‘underdog’ kerana kita akan berhadapan dengan JDT yang mempunyai ramai pemain kebangsaan dan saya yakin mereka akan turunkan ramai pemain JDT II pada perlawanan esok.

Tetapi saya pesan kepada para pemain bahawa bola sepak tidak mengenal siapa lawan, jika kita berikan yang terbaik tidak kisah siapa pun pihak lawan, kita mampu beri saingan,”

katanya.

Menurutnya, walaupun pasukannya mempunyai kelebihan dua jaringan di tempat lawan selepas seri 2-2 pada perlawanan pertama tempoh hari, beliau tetap akan bermain seperti biasa untuk memberi tekanan kepada pihak lawan.

Beliau bertekad untuk mencatat sejarah pada malam esok dengan mendakap piala itu di hadapan penyokong sendiri.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Tengku Muda Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Shah kerana memberi mementingkan pembangunan akar umbi bola sepak negeri sehingga pasukan Sri Pahang mampu melangkah ke perlawanan akhir Piala Belia dan Piala Presiden 2022.

“Memang tahun ini adalah tahun bersejarah buat bola sepak Pahang kerana tidak pernah lagi kedua-dua pasukan Piala Belia dan Piala Presiden melangkah ke perlawanan akhir kedua-dua kejohanan.

Baginda mengambil tahu tentang pembangunan akar umbi bola sepak negeri dan kami sebagai jurulatih telah diberi tanggungjawab untuk menggilap pemain muda untuk menjadi lebih matang sehingga ke tahap yang tinggi.”

Dalam pada itu, kapten Sri Pahang, Mohamad Saiful Jamaluddin gembira dapat kembali semula untuk membantu pasukan selepas tersisih pada perlawanan pertama akibat kecederaan.

Beliau berkata, semua pemain tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan itu untuk memastikan trofi Piala Presiden tahun ini milik Sri Pahang.

“Kami sudah ada kelebihan jaringan gol di tempat lawan, sudah tentu ia adalah satu kelebihan buat kami dan saya harap semua pemain akan terus memberi tekanan kepada pihak lawan daripada awal permainan esok.”

Pada perlawanan sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Aksi timbal balik tersebut akan diadakan di Stadium Mini Temerloh pada pukul 8.45 malam esok (28 Ogos 2022).