Ayub Abd Samad tekad balas dendam ke atas KL Rovers di separuh akhir, percaya kekuatan semua pemain

598

BRM FC berjaya mengalahkan pasukan Armed Forces FC pada aksi suku akhir kedua Liga M3 yang dilangsungkan di Stadium Perak dengan jaringan 1-0.

Kemenangan ini berjaya memberi kelebihan kepada pasukan BRM FC untuk mara ke pusingan separuh akhir dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.


Ketua jurulatih BRM FC, Ayub Abd Samad telah melakukan persiapan yang cukup rapi sebelum melayani kunjungan pasukan lawan yang hadir dengan kemenangan pada perlawanan sebelumnya.

“Ya saya rasa walaupun saya kalah pada perlawanan pertama suku akhir sebelum ini, saya tetap yakin mampu membalas dendam pada perlawanan kedua.

Kami bersedia dari segala segi terutamanya di bahagian pertahanan, tengah dan menyerang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, perlawanan suku akhir pertama di antara kedua-dua pasukan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Armed Forces menerusi perbezaan tipis 3-2.

Selepas ini, pasukan dari Kuala Kangsar ini dijadual bertemu KL Rovers di peringkat separuh akhir.

KL Rovers berjaya melakukan kejutan untuk mengatasi pasukan pilihan, Kinabalu Jaguar FC dengan jumlah argegat 4-3.

Perlawanan ini akan menjadi antara aksi yang sengit tatkala kedua-dua pasukan ini pernah bertemu dalam saingan Kumpulan B.

“Kami pernah berada dalam satu kumpulan dengan KL Rovers, kita pernah kalah dengan mereka di tempat lawan.

Kami akan berusaha untuk membalas dendam di peringkat separuh akhir.”

Perlawanan suku akhir kedua ini dilihat berlangsung dengan agak tegang selepas beberapa insiden pergaduhan yang berlaku.

Pemain dari kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang cukup bertenaga namun nasib lebih berpihak kepada pasukan BRM FC yang diperkuatkan oleh laungan semangat dari penonton yang hadir ke stadium.

Ayub berjaya memastikan pemainnya tidak terlibat dengan sebarang provokasi melampau sehingga menjejaskan rentak permainan pasukan.

“Memang saya ada tekankan kepada pemain saya untuk bermain dengan lebih bijak dan kurangkan pertelingkahan.

Terutama kepada pemain muda yang sedikit baran, saya juga berpesan kepada mereka untuk tidak mengikut rentak pihak lawan tambahan pula pasukan lawan biasa bermain dengan sedikit keras.”

Pemain BRM FC tidak boleh terleka dengan kemenangan yang berjaya diraih pada malam ini untuk terus memberi fokus kepada saingan separuh akhir pertama yang akan berlangsung pada 3 September ini.

Kemenangan semestinya dituntut oleh semua pihak bagi terus menghidupkan peluang mereka untuk melangkah ke Liga Super musim hadapan.