Ghafari Nasir tidak terkesan dengan 9 pemain yang cedera, percaya kemampuan jurulatih atasi masalah

395

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BRM FC, Ghafari Nasir langsung tidak terkesan dengan kecederaan yang dialami oleh pemain pasukannya meskipun bakal berlawan pasukan yang kuat di peringkat separuh akhir selepas ini.

Susulan daripada kejayaan ke atas pasukan Armed Forces di suku akhir, BRM FC bakal berhadapan dengan pasukan dari Lembah Klang, KL Rovers FC.


“9 orang pemain mengalami kecederaan, jadi ini akan memberikan impak yang besar pada perlawanan dengan KL Rovers.

Tapi saya yakin dengan kemahiran barisan kejurulatihan untuk mengatasi masalah ini dan terus mengekalkan kecemerlangan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ghafari juga optimis bahawa para pemain serta barisan kejurulatihannya akan mampu merencana strategi berkesan untuk membalas dendam ke atas kekecewaan yang dihadapi pada dua perlawanan sebelum ini di peringkat kumpulan.

Berdasarkan momentum yang dimiliki ketika ini, pasukan BRM FC tampak memiliki peluang yang cerah untuk memperbaiki rekod pertemuan terdahulu.

“Kita tidak mempunyai rekod yang baik dengan KL Rovers selepas satu kemenangan dan satu seri.

Kami akan perbaiki perkara tersebut di perlawanan separuh akhir yang akan datang.”

Tambahan pula, semangat juang yang diperagakan oleh kesemua pemain pada perlawanan menentang Armed Forces perlu diberi pujian.

Kesungguhan yang dipamerkan berjaya membantu pasukan kendalian ketua jurulatih, Ayub Abd Samad untuk mengekalkan kelebihan jaringan di babak awal perlawanan sehingga ke wisel penamat.

Motivasi ini perlu dikekalkan bagi membolehkan mereka memberi saingan yang kuat pada perlawanan pertama yang dijadual pada 3 September ini.

“Secara umumnya, saya berasa amat gembira dengan keputusan perlawanan malam ini walaupun kita tergendala buat sementara waktu.

Tetapi keputusan akhirnya memihak kepada kita, saya menjangkakan perlawanan separuh akhir bertemu KL Rovers akan berlangsung dengan lebih sengit.”

Para pemain perlu memberikan yang terbaik tatkala mereka meletakkan sasaran untuk layak ke Liga Super musim depan.

Kemenangan pada perlawanan menentang KL Rovers bakal menjadi tonik terbaik kepada pasukan bagi merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan sekian lama.

“Kita akan cuba yang terbaik untuk mencapai kemenangan, saya memang meletakkan sasaran setahun sahaja berada di Liga M3.

Saya tidak ingin mengambil masa yang lama untuk layak ke peringkat seterusnya.”

Mereka kini berada di landasan terbaik selepas kesemua pasukan pilihan seperti Kinabalu Jaguar FC dan Harini FT telah dikejutkan oleh lawan masing-masing untuk mengakhiri saingan di peringkat suku akhir.

Kini, pasukan BRM FC dilihat sebagai antara pasukan pilihan utama untuk layak ke final dan tidak mustahil berjaya dinaikkan ke Liga Super tahun depan.