Amir Izwan terus berbangga dengan Azeem Fahmi, jadi ahli sukan pertama dipilih selaku pembaca ikrar Hari Kebangsaan ke-65

314

Jurulatih pecut, Amir Izwan cukup berbangga dengan pencapaian anak buahnya, Azeem Fahmi yang semakin menempa nama selepas cemerlang di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia B-20 Tahun baru-baru ini.

Amir yang telah bertanggungjawab membimbing pelari muda tersebut sejak di bangku sekolah berpuas hati dengan pencapaian demi pencapaian yang berjaya dicapai oleh Azeem.


“Pada saya, sepanjang yang saya ingat untuk Hari Kemerdekaan negara belum ada lagi ahli sukan yang diberikan penghormatan untuk membaca ikrar.

Bagi saya ini adalah penghargaan yang besar buat Azeem dan saya amat berbangga dengan pencapaian beliau selain dari bidang olahraga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ketika ini, Amir dan Azeem sedang berkampung di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melakukan persiapan menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 Kuala Lumpur yang bakal berlangsung September ini.

Azeem akan berhadapan dengan cabaran dan bebanan yang semakin berat selepas kejayaannya memecahkan rekod negara dalam acara 100 meter yang sebelum ini dipegang oleh bekas jaguh pecut ASEAN, Khairul Hafiz Jantan.

Bagaimanapun, Amir tidak ingin meletakkan tekanan yang berat kepada atlet tersebut tatkala usianya yang masih muda dan berpotensi besar untuk meraih kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.

“Untuk SUKMA, program latihan hanya dijalankan seperti biasa yang kita lakukan sebelum ini cuma dari segi loading dan intensiti kita pertingkatkan sikit.

Tidak ada keistimewaan dan tidak ada sasaran yang tinggi kerana saya lebih berpegang kepada prinsip untuk hanya melakukan yang terbaik.”

Pada masa yang sama, Amir tidak melihat jadual padat Azeem dengan latihan bacaan ikrar akan memberi kesan kepada keseluruhan program latihan yang telah dirangka sebelum ini.

Amir cukup mengenali anak buahnya tersebut, mereka memiliki keakraban yang telah terjalin di SMK Gunung Rapat.

“Tidak ada gangguan pada saya, cuma kita perlu ubahsuai serba sedikit terhadap program yang pernah dirancang sebelum ini.

Saya sudah melakukan program yang lebih seimbang untuk Azeem.”

Khidmat Amir akan terus ditagih bagi memastikan Azeem dapat terus melakukan kejutan untuk mendominasi SUKMA sebelum berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran.