Kami adalah pasukan JDT dan kami bermain untuk menang – Javier Jorda Ribera
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim III, Javier Jorda Ribera berharap pasukannya tidak perlu menunggu lama untuk merangkul kejuaraan sekali lagi selepas menjuarai Piala Presiden 2022.
Menurutnya, kejayaan menjulang piala itu selepas lima tahun berada di kelab itu adalah hasil kerjasama semua pihak yang berada di kelab.
“Saya berasa amat gembira dengan kejayaan ini, ia adalah kejayaan untuk semua yang terlibat dengan akademi JDT, pihak pengurusan, mereka yang berada di belakang tabir termasuklah dalam pasukan JDT, JDT II dan juga JDT IV.
Ini adalah proses sejak lima tahun lalu, kami adalah pasukan JDT dan kami bermain untuk menang,”
katanya.
Menurutnya, kejayaan itu adalah berkat usaha semua pemain yang telah memberikan segala-galanya sejak perlawanan pertama lagi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir dari Johor ke Pahang untuk memberi sokongan kepada pasukan.
“Kami amat gembira berada di sini dan melihat ramai penyokong hadir termasuk Boys of Straits, keluarga, barisan pengurusan, para pemian lain yang turun memberikan sokongan seperti biasa.
Saya ada 23 mesin dalam skuad ini dan juga 10 pemain yang tidak dapat bersama kami atas sebab-sebab tertentu, semuanya sudah melakukan yang terbaik.”
Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, JDT III berjaya menewaskan Sri Pahang 2-0 hasil jaringan Muhammad Syukur Fariz serta Muhammad Najmudin Akmal.
Kemenangan itu menyaksikan JDT III menang 4-2 secara agregat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.