Mohd Yazeed percaya pemain Piala Presiden Sri Pahang FC mampu tembusi skuad utama
Ketua jurulatih skuad Piala Presiden Sri Pahang FC, Mohd Yazeed Hamzah akan menumpukan perhatian kepada kejohanan Sukma selepas ini selepas gagal merangkul trofi Piala Presiden 2022.
Menurutnya, para pemain sudah melakukan yang terbaik pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim III sebentar tadi namun rezeki tidak memihak kepada mereka.
“Kami tidak bernasib baik hari ini, para pemain sudah mencuba yang terbaik tetapi pasukan JDT III memanfaatkan peluang yang mereka dapat.
Sudah tentu saya kecewa tidak berjaya menjuarai piala tersebut di hadapan penyokong sendiri tetapi dalam perlawanan akhir harus ada pasukan yang menang dan kalah,”
katanya.
Yazeed berkata, beliau percaya dengan bakat yang ada pada pemain-pemainnya dan percaya mereka mampu berada dalam pasukan utama selepas ini.
Walaupun tewas, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang tetap bersemangat melawan.
“Insha Allah ada yang mampu ke skuad utama kerana sebelum ini pun ada beberapa pemain yang pernah menyertai sesi latihan pasukan utama.”
Menurutnya, kedua-dua pasukan telah menampilkan satu aksi yang menarik pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh itu.
JDT III menjulang Piala Presiden 2022 selepas menewaskan Sri Pahang 2-0 (4-2 secara agregat) hasil jaringan Muhammad Syukur Fariz serta Muhammad Najmudin Akmal.