Muhammad Syukur berterima kasih kepada TMJ sentiasa beri sokongan, bercita-cita wakili skuad utama JDT

3,666

Pemain Johor Darul Ta’zim III, Muhammad Syukur Fariz berterima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada pasukan sehingga berjaya menjuarai Piala Presiden 2022.

Menurutnya, segala percaturan ketua jurulatih, Javier Jorda Ribera pada perlawanan itu ternyata menjadi apabila mereka berjaya menjaringkan dua gol di tempat lawan.


“Sebenanrya kami tak jangka akan dapat menjaringkan dua gol di tempat lawan tetapi kita hanya ikut apa yang telah diaturkan oleh jurulatih dan berjaya menjaringkan dua gol.

Saya juga ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya untuk menjaringkan salah satu gol tersebut,”

katanya.

Dalam pada itu, beliau berhasrat mahu mewakili skuad JDT atau JDT II selepas menampilkan aksi memberangsangkan bersama JDT III musim ini, muncul penjaring terbanyak pasukan dengan 12 gol.

Menurutnya, itu adalah sasaran beliau dan rakan-rakannya untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi seperti Liga Perdana dan Liga Super.

“Kami memang sentiasa mahu tingkatkan diri dan bermain bersama skuad yang lebih tinggi sama ada JDT II atau JDT.

Sekarang ini kami bermain di kejohanan Piala Presiden dan sudah tentu kami mahu bermain di Liga Perdana atau Liga Super pula selepas ini.”

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir memberi sokongan daripada Johor.

JDT III muncul juara Piala Presiden 2022 selepas menewaskan Sri Pahang FC 4-2 secara agregat.