Amanda berasa istimewa bermain tenis, ibu bapa main peranan besar pupuk minat

491

Tenis merupakan antara sukan yang kurang mendapat perhatian di dalam negara meskipun mempunyai peminat yang ramai dari seluruh pelusuk dunia.

Pemain tenis cilik, Delish Amanda tidak berasa ralat dengan situasi ini walaupun tidak mempunyai ramai rakan sebaya yang mempunyai minat sama dalam tenis.


“Saya tidak berasa kesunyian walaupun tidak ramai kawan-kawan bermain sukan ini.

Perkara ini membuatkan saya berasa lebih istimewa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Amanda yang kini berusia 11 tahun sedang giat berlatih bagi menghadapi kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah  Malaysia (MSSM) yang bakal bermula pada 3 September ini.

Amanda mula bermain tenis pada umur 7 tahun dan berkat sokongan ibu bapanya, beliau terus cemerlang dan bakal berkelana ke Australia untuk menyertai sebuah akademi tenis di negara tersebut selama 3 bulan.

Ibu bapa Amanda, Muhammad Ezuwan dan Suzyla Sarlan memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan anak sulung mereka.

Mereka juga telah berjaya membantu Amanda yang meminati pelbagai sukan selain tenis untuk membuat pilihan yang mampu menjadi kerjaya masa depan.

“Ibu bapa adalah penentu minat anak-anak, kita perlu menjadi pembentuk sebab di usia muda, anak-anak lebih cenderung untuk hanya menurut kata-kata ibu bapa.

Bantu mereka untuk memilih sukan yang boleh menjadi karier sepenuh masa dan tidak hanya terhenti separuh jalan.” kata Suzyla.

Usaha ibu bapa Amanda juga sedikit sebanyak telah membantu menyokong pembangunan bakat dan potensi pemain cilik ini sehingga berjaya membuka mata ramai pihak.

Kebolehan Amanda telah berjaya menarik minat sebuah jenama sukan terkenal dunia dari Jepun, Yonex untuk menaja segala kelengkapan beliau seperti raket, pakaian dan kasut.

Sokongan tanpa henti diberikan oleh pasangan ini juga memberi kesan kepada tahap kematangan Amanda yang dilihat bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menjadi atlet masa depan negara.

“Segalanya bermula dari rumah, ibu bapa perlu berikan kata nasihat dan sokongan moral kepada anak-anak,” tambah Suzyla.

Peluang berlatih di Australia akan memberi peluang kepada Amanda untuk terus memperbaiki kebolehannya untuk menjadi antara salah seorang pemain tenis berkualiti pada masa depan bukan sahaja di Asia Tenggara malah di peringkat Asia.

Amanda akan berlatih di ITennis Coaching Academy di bawah pemerhatian Chris Singh sebagai mentor beliau.

Chris merupakan bekas pemain junior No. 1 Australia dalam acara perseorangan dan beregu.

Beliau juga pernah menjadi sparring partner untuk bintang tenis Rusia, Maria Sharapova sewaktu Terbuka Australia beberapa tahun lalu.