Adakah Izhar Moslim benar-benar letak jawatan kali ini?

4,327

Pada musim ini pasukan yang paling mendapat perhatian peminat dan juga pemilik kelab lain sudah pastinya Selangor FC apabila mereka terpalit dengan pelbagai kontroversi dan terbaru apabila bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Izhar Moslim meletak jawatan.

Perletakan jawatan Izhar ini mendapat perhatian selepas beliau ‘diserang’ oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah memuat naik satu posting mengenai salah laku Izhar dan pengurusan FAS.


Malah baginda turut mendedahkan Izhar telah menggunakan kuasa dimiliki untuk melantik kroninya untuk berada dalam persatuan dan menjadi faktor utama kepada kemerosotan pasukan Gergasi Merah sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Izhar dikatakan mempunyai pengaruh besar dalam Selangor dan merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan penting.

Banyak lagi perkara yang didedahkan oleh TMJ sehingga membuatkan ramai peminat terutamanya peminat Selangor turut tertanya-tanya mengenai individu bernama Izhar ini terutamanya apakah jawatan terkininya berikutan sebelum ini beliau pernah meletak jawatan sebagai Naib Presiden FAS pada 2020.

Ramai juga peminat yang mempersoal samada beliau benar-benar letak jawatan kali ini, atau letak jawatan dan kemudian kembali dalam pengurusan Selangor seperti yang berlaku sebelum ini.

Isu membabitkan Izhar ini boleh dikatakan agak rumit berikutan beliau lebih selesa berada di belakang tadbir sekaligus membuatkan ramai peminat yang kurang mengenalinya sehinggalah TMJ mendedahkan kepada umum.

Disebalik kenyataan demi kenyataan oleh TMJ sebelum ini, Izhar mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas langsung.

Dalam pada itu, Izhar yang ditemui oleh Harimau Malaya sebelum ini meluahkan rasa hairannya apabila dirinya sering dipersalahkan atas persembahan hambar pasukan Selangor.

Malah beliau juga tidak tahu apa salah silapnya sehingga menjadi kecaman peminat.

Adakah dengan perletakan jawatan Izhar dapat menaikkan semula prestasi Selangor? Atau perlu buat rombakan besar-besaran dalam pasukan bagi memastikan tiada ‘parasit’ yang masih dalam dalam barisan pengurusan tertinggi pasukan?

Peminat turut mengharapkan Presiden FAS sendiri iaitu Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah untuk menyelesaikan segala isu dalaman yang berlaku dalam pasukan dan mengembalikan zaman kegemilangan Selangor seperti satu ketika dahulu.

Ini kerana Selangor merupakan kelab dengan bajet kedua terbesar dalam saingan Liga Super pada musim ini yang mana mereka sepatutnya bersaing untuk kejuaraan liga dengan JDT dan bukannya bergelut untuk tidak jatuh di tangga tercorot.

Ketika ini Selangor berada di kedudukan kesembilan liga selepas 15 perlawanan dengan lima perlawanan terakhir mereka hanya berjaya seri sekali dan tewas empat kali.