Tugas pertama Noor Azman sebagai Setiausaha Agung FAM selesaikan masalah Melaka United FC?

953

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melantik Noor Azman Rahman sebagai Setiausaha Agung baru FAM bagi menggantikan Mohd Saifuddin Abu Bakar yang meletak jawatan kerana mahu tumpu pada kerjaya antarabangsa.

Perlantikan Noor Azman ini mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak terutamanya peminat Melaka United FC yang hairan bagaimana beliau boleh dilantik sedangkan ketika memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), pasukan itu sering terpalit dengan isu tunggakan gaji.


Malah ketika pengumuman perlatikan Noor Azman dibuat, Melaka United sekali lagi dilaporkan berdepan masalah tunggakan gaji hampir empat bulan, dan sehingga kini pihak pengurusan pasukan masih belum tampil membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

Ultras Taming Sari turut mengeluarkan satu kenyataan dengan berkata mereka sangat kecewa dengan pihak pengurusan yang berdiam diri tanpa sebarang kenyataan rasmi berhubung masalah tunggakan gaji.

Malah mereka juga kecewa apabila pihak pengurusan langsung tidak menghormati keluhan mereka sedangkan mereka sanggup mengeluarkan wang dari poket mereka sendiri untuk beri sokongan pada pasukan.

Terdahulu, dua hari sebelum pengumuman perlantikan Noor Azman, Presiden MUSA yang baru, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad telah membuat kunjungan hormat ke Wisma FAM untuk bertemu dengan Presiden FAM iaitu Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.

Noor Azman bukanlah asing di FAM kerana beliau merupakan Koordinator Presiden FAM sejak tahun 2018, Ahli Jawatankuasa Media FAM (2010-2013), Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM (2014-2018) serta Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM (2018-2019).

Manakala beliau bersama pasukan Melaka United sejak tahun 2013 apabila dilantik menjadi Penolong Pengurus, Pengurus dan Setiausaha Agung MUSA dari tahun 2015 hingga 2018.

Pada tahun 2020, beliau telah dilantik sebagai Naib Presiden MUSA yang sepatutnya akan tamat pada 2023, tapi terpaksa menamatkan kontrak lebih awal susulan akan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM bermula 1 September ini.

Mungkin ramai yang mengatakan akan timbul ‘conflict of interest’ berikutan beliau pernah menerajui skuad Hang Tuah sebelum ini.

Apabila masuk ke pejabat FAM Khamis ini, tugas pertamanya adalah cuba menyelesaikan masalah tunggakan gaji pasukan Melaka United yang tidak berkeseduhan sejak sekian lama dan mungkin juga boleh bantu pasukan Sarawak United FC yang turut berdepan masalah sama.

Banyak lagi tugas berat menanti Noor Azman kelak berikutan peminat meletak harapan yang cukup tinggi buatnya apabila mengambil alih tugas Saifuddin.