KL City FC perlu selesaikan masalah dalaman terlebih dahulu

621

Pasukan KL City FC kini menjadi wakil tunggal Malaysia di pentas Asia apabila mereka layak ke perlawanan separuh akhir Piala AFC Antara Zon selepas menewaskan PSM Makassar dalam perlawanan akhir Zon ASEAN baru-baru ini.

Bagaimanapun disebalik kegembiraan pasukan KL City di pentas Asia, namun mereka terpalit dengan kontroversi disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pecah Amanah jenayah (CBT) dan salah guna kuasa membabitkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).


Mengikut fakta kes, difahamkan tanah Akademi KLFA telah diserahkan kepada pihak swasta iaitu Suede Realty yang mana pihak tersebut telah mengeluarkan dana jutaan ringgit kepada KLFA sebagai hasil kerjasama itu.

Tetapi susulan masalah tunggakan gaji pemain pada awal musim lalu telah menyaksikan pihak atasan telah mengubah perjanjian dengan pihak lain iaitu Sinmah Properties Sdn Bhd dengan nilai jutaan ringgit tanpa proses yang betul.

Kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM.

Walaupun Presiden KLFA iaitu Khalid Abdul Samad baru-baru ini dalam satu sidang media menyangkal salah laku pengurusannya, namun ia sedikit sebanyak telah mencalarkan imej pasukan The City Boys itu.

Masalah dalam yang berlaku dalam KL City bukanlah perkara baru kerana mereka mula berdepan masalah selepas berjaya memenangi kejuaraan Piala Malaysia musim lalu apabila difahamkan terdapat perebutan kuasa dalam pengurusan tertinggi pasukan.

Khalid dalam kenyataannya sebelum ini juga tidak menafikan terdapat cubaan untuk mensabotaj pasukan itu oleh pihak tidak bertanggungjawab, tetapi tidak mendedahkan identiti pihak tersebut.

Belum pun selesai satu masalah, kini timbul lagi satu yang mana pihak KL City telah mengemukakan permohonan untuk menjadi tuan rumah bagi aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon menentang kelab dari India iaitu ATK Mohun Bagan.

Sebelum ini pasukan dari ibu kota dikatakan bakal mendapat laluan mudah atau bye untuk perlawanan tersebut selepas Persekutan Bola Sepak Dunia (FIFA) telah menggantung Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) selepas terdapat campur tangan pihak ketiga.

Namun berita ‘gembira’ itu tidak bertahan lama apabila AIFF berjaya menyelesaikan isu dalaman dan telah meminta FIFA menarik balik penggantungan yang mana FIFA kemudian telah menarik balik penggantungan itu.

Keputusan terbaru FIFA itu menyaksikan KL City perlu berdepan Mohun Bagan untuk mara ke perlawanan akhir Piala AFC Antara Zon yang mana mereka perlu bermain di India.

KL City mohon untuk jadi tuan rumah dengan memberi alasan mereka berdepan masalah logistik dan permohonan visa susulan penarikan semula sekatan aktiviti bola sepak AIFF dibuat pada Jumaat lalu.

Selain itu, jadual liga yang padat juga menjadi antara salah satu sebab mereka mohon untuk perlawanan itu diadakan di Kuala Lumpur.

Rasanya tindakan KL City itu agak mustahil akan direalisasikan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana lokasi perlawanan sudah pun ditetapkan pada undian sebelum ini dan keputusan itu muktamat.

Pasukan Mohun Bagan sudah pasti mahu bermain di tempat mereka sendiri juga, oleh itu sudah pasti masalah lain akan timbul jika AFC benarkan perlawanan itu dibuat di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.

Tambahan pula, pasukan itu juga kini sedang disiasat oleh AFC sendiri selepas insiden pergaduhan yang berlaku di luar stadium selepas tamat perlawanan.

Walaupun pihak KL City menafikan bahawa penyokong mereka terlibat dalam insiden tersebut, namun ianya semua terletak kepada hasil siasatan yang dibuat oleh AFC sendiri.

Biarpun AFC masih belum keluarkan laporan penuh termasuk menentukan samada KL City bersalah atau tidak, namun insiden tersebut sudah pasti akan dipertimbangkan dengan serius oleh jika AFC ‘benar-benar’ mahu pertimbangkan venue untuk perlawanan tersebut.

Mungkin pengurusan KL City boleh berbincang dengan pihak Malaysian Football League (MFL) mengenai jadual perlawanan yang mungkin boleh diubah kerana MFL sebelum ini memang akan memberi keutamaan kepada pasukan kebangsaan dan juga pasukan yang membawa nama Malaysia ke pentas Asia, jadi tiada masalah rasanya untuk KL City.

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian, jadi harap KL City dapat selesaikan terlebih dahulu masalah dalaman mereka supaya jurulatih dan pemain tidak terkena tempias dengan apa yang berlaku dalam pasukan ketika ini.