Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan kekal bergandingan hingga ke Sukan Olimpik Paris 2024 – Tan Sri Norza Zakaria

2,188

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria mengesahkan bahawa pasangan beregu juara dunia negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan kekal bergandingan sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

Norza berkata demikian selepas pasangan beregu utama negara itu mencipta sejarah apabila merangkul Kejohanan Dunia BWF 2022 yang berlangsung di Tokyo, Jepun, semalam selepas menumpaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam straight set.


“Akhirnya Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberi kita hadiah kemerdekaan. Kita perlu terus beri sokongan kepada mereka. Saya juga berhubung dengan mereka dan mereka beritahu yang mereka mahu teruskan momentum ini.

Mereka juga ada beritahu yang selepas ini kedua-dua mereka ada agenda lebih besar iaitu Sukan Olimpik Paris 2024,”

katanya.

Menurut Norza, kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ini telah menamatkan penantian selama 45 tahun negara sekaligus menjadikan Malaysia sebagai gergasi dalam dunia badminton.

Tambahnya lagi, kejayaan pasangan beregu negara itu juga telah menjadi inspirasi dan motivasi buat pemain negara yang akan beraksi dalam kejohanan Terbuka Jepun 2022 yang akan berlangsung dari 30 Ogos hingga 4 September.

Dalam pada itu, Norza turut berkata kedua-dua pemain itu akan mendapat habuan lumayan atas kejayaan mereka dengan anggaran bakal menerima sekitar RM300,000 setiap seorang.

“Masih terlalu untuk bercakap mengenai perkara ini tetapi apa yang saya boleh beritahu adalah pihak kami akan bercakap dengan pihak kerajaan, Kementerian Beliau dan Sukan serta penaja-penaja untuk memberi imbuhan yang setimpal.

Untuk permulaan, BAM sendiri akan memberi mereka RM150,000 setiap seorang, dan RM50,000 seorang daripada pihak Yonex. Manakala SHAKAM (Skim Hadiah Kemenangan Sukan) kini bernilai RM20,000 setiap orang tetapi saya akan usulkan cadangan kepada Menteri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk pertimbang imbuhan yang setimpal.

Pada masa sama saya juga akan bercakap dengan pemegang taruh untuk imbuhan setimpal untuk mereka.”

Sementara itu, Norza turut meluahkan rasa bersyukurnya apabila satu daripada tiga KPI (Petunjuk Prestasi Utama)-nya sebagai Presiden BAM sudah pun tercapai iaitu merangkul Kejohanan Dunia.

Beliau berharap skuad badminton negara akan mampu membawa pulang trofi Piala Thomas dan pingat emas di Sukan Olimpik sekaligus melengkapkan KPI yang ditetapkan sendiri olehnya sebagai presiden badan induk badminton negara.