Atlet negara diberi penghargaan tertinggi dalam sambutan Hari Kemerdekaan ke-65

2,074

Tahun ini boleh dianggap sebagai tahun yang cemerlang buat arena sukan tempatan kerana negara mengecapi banyak kejayaan dan mencatat pelbagai rekod dalam bidang sukan.

Antara pencapaian yang boleh dibanggakan adalah kejayaan skuad hoki dalam dewan negara muncul juara Asia, skuad bola sepak kebangsaan layak ke Piala Asia secara merit selepas 42 tahun, kontinjen negara yang berjaya melepasi sasaran pingat emas di Sukan Komanwel.


Selain itu, pelari muda negara, Muhammad Azeem Fahmi berjaya memecah rekod 100 meter kebangsaan baru-baru ini dengan catatan 10.09 saat manakala pasangan badminton beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya menghadiahkan emas pertama buat negara dalam Kejohanan Dunia.

Justeru itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 peringkat kebangsaan esok (31 Ogos 2022) yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, beberapa atlet sukan yang telah mengharumkan nama negara akan diberi penghormatan untuk melakukan perarakan di hadapan puluhan ribu penonton.

Antara nama-nama yang bakal menyertai perarakan itu termasuklah pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Bonnie Bunyau Gustin, Aaron dan juga Wooi Yik.

Walaupun pasangan beregu negara itu baru sahaja tamat Kejohanan Dunia di Tokyo, menurut sebuah stesen televisyen tempatan, mereka akan turut serta berarak bersama-sama atlet lain.

Muhammad Azeem pula diberi penghargaan tertinggi apabila dipilih sebagai pembaca ikrar bagi hari sambutan itu.

Ini merupakan pertama kali pembaca ikrar Hari Kemerdekaan dipimpin oleh seorang atlet.

Dipilih untuk turut bersama-sama menyertai perarakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan adalah satu perkara yang amat membanggakan kerana bukan sesiapa sahaja yang layak untuk dipilih berarak dalam sambutan tersebut.

Bagi atlet-atlet yang dipilih, ia membuktikan bahawa negara memperakui serta bangga akan usaha mereka membanggakan nama negara.

Ini juga boleh menjadi inspirasi kepada atlet-atlet lain untuk berusaha dengan lebih kuat terutama apabila membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

Ia juga adalah satu usaha yang baik oleh kerajaan untuk memberi penghormatan kepada atlet-atlet ini kerana mampu memberi contoh yang baik kepada orang ramai terutama anak-anak muda yang menjadikan mereka sebagai idola.