Lim Teong Kim atau Rajagopal, siapa yang lebih sesuai bantu Kelantan FC musim depan?

2,233

Pasukan yang sedang meningkat naik, TRW Kelantan FC terus cemerlang selepas berjaya mencatatkan keuntungan berturut-turut tahun ini.

Kelantan FC juga cemerlang dalam saingan liga selepas mereka berada di kedudukan kedua Liga Perdana ketika ini selepas berkongsi mata dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II.


Segala-galanya akan bergantung kepada keputusan dua perlawanan terakhir liga bagi menentukan kelab mana yang akan bergelar juara.

Namun, kegembiraan ini sedikit terjejas dengan kenyataan ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya yang memaklumkan bahawa beliau tidak akan lagi mengisi posisi tersebut musim hadapan.

Hal ini berkait rapat dengan masalah lesen kejurulatihan yang dimiliki oleh beliau ketika ini tidak mencapai tahap piawaian yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Situasi ini menimbulkan tanda tanya dari pelbagai pihak tentang calon jurulatih yang bakal mengisi tempat tersebut.

Antara nama yang disebut adalah bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim yang masih belum mempunyai kontrak bersama mana-mana kelab selepas dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2018.

Teong Kim merupakan salah seorang jurulatih yang cukup dihormati berdasarkan pengalamannya berkelana ke luar negara.

Terdahulu, beliau pernah melatih beberapa pemain ternama dunia seperti Thomas Muller dan Toni Kroos sewaktu mengendalikan pasukan remaja Bayern Munich dari tahun 2001 sehingga 2013.

Selepas 12 tahun, Teong Kim membuat keputusan untuk kembali menabur bakti kepada Malaysia setelah ditawarkan kontrak selaku pengarah NFDP pada tahun 2013.

Kejayaan pertamanya hadir pada tahun 2015 selepas pasukan NFDP B-13 yang dibarisi oleh pemain seperti Luqman Hakim dan Arif Aiman ketika itu berjaya memenangi Iber Cup selepas menewaskan kelab Portugal, Sporting CP 2-1 di perlawanan akhir.

Kehebatan Teong Kim mencungkil bakat pemain muda selari dengan pendekatan yang ingin digunapakai oleh pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham yang menyatakan keinginannya mendapatkan khidmat pemain muda bagi musim depan.  

Cuma, bayaran gaji yang mahal seperti dikhabarkan sebelum ini mungkin menjadi antara halangan terbesar kepada skuad Kelantan FC yang masih dalam proses pembinaan semula pasukan selepas kejatuhan yang dihadapi pada beberapa musim yang lepas.

Seorang lagi calon yang boleh dipertimbangkan adalah bekas jurulatih negara, Datuk K. Rajagopal yang telah mengumumkan kesediaan beliau untuk kembali ke kancah bola sepak Malaysia.

Kali terakhir beliau menjadi jurulatih untuk pasukan Liga Malaysia (Liga M) adalah ketika bersama kelab PKNS FC pada tahun 2019 sebelum dilantik menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Brunei pada tahun 2020 sehingga awal tahun ini.    

Beliau cukup terkenal dengan kejayaannya membimbing skuad muda negara bermula pada tahun 2004.

Kejayaan terbesar beliau adalah sewaktu membimbing skuad B-23 negara memenangi pingat emas Sukan SEA buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun pada 2009.

Pengendali berasal dari Kuala Lumpur ini juga berjaya membawa pasukan utama negara meraih kejuaraan pertama dalam kejohanan Piala AFF menerusi kejayaan anak buahnya pada tahun 2010.

Reputasi ini menjadikan beliau antara calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Rezal pada musim depan.

Tidak terus dibuang, Rezal yang memilki kontrak tiga tahun bersama pasukan berkemungkinan besar akan dilantik selaku pembantu jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Peluang ini boleh dimanfaatkan oleh Rezal untuk mendapatkan ilmu dan tunjuk ajar dalam kejurulatihan daripada jurulatih yang berpengalaman.

Pada masa yang sama, beliau juga mempunyai kesempatan untuk memberi fokus dalam menyelesaikan proses mendapatkan lesen bagi membolehkan beliau kembali memegang jawatan selaku ketua jurulatih pada masa hadapan.

Pencapaiannya selaku ketua jurulatih tampak memberangsangkan selepas berjaya membantu pasukan Kelantan meraih 11 kemenangan daripada 16 perlawanan untuk berada di tangga kedua teratas Liga Perdana buat masa ini.

Semoga jurulatih yang bakal dipilih pada musim hadapan mampu meneruskan momentum kecemerlangan pasukan ini untuk terus memberi saingan dalam Liga M.