Melaka United FC terpalit isu gaji lagi, beberapa import dilaporkan mahu ‘cabut lari’

1,064

Isu tunggakan gaji sekali lagi melanda Melaka United FC apabila kelab itu dilaporkan gagal melunaskan beberapa bulan gaji pemain.

Malah, beberapa pemain import Melaka United dilaporkan sudah meminta untuk ditamatkan kontrak mereka disebabkan isu tunggakan gaji.


Dalam barisan pemain yang tersenarai untuk menentang JDT semalam, hanya Adriano sahaja pemain import yang bermain, itu pun dikeluarkan sebelum separuh masa pertama.

Empat lagi import iaitu Justin Baas, Sony Norde, Emmanuel Oti dan Ifedayo Olusegun pula langsung tidak berada dalam senarai walaupun sebagai pemain simpanan.

Justeru, ketiadaan mereka dikatakan ada kaitan dengan tunggakan gaji yang melanda kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Justin Lim yang menafikan beliau sudah berundur diri sebelum ini ada memberi kenyataan mengenai isu itu sebelum ini.

Menurutnya, tunggakan adalah selama dua bulan dan bukannya empat bulan seperti yang diuar-uarkan dan pihaknya akan menyelesaikan perkara itu sebaik sahaja perbincangan bersama pemegang saham diadakan.

Walaupun begitu, tiada tempoh masa spesifik yang ditetapkan olehnya mahupun pengurusan Melaka United untuk menyelesaikan isu itu.

Pengurusan Melaka United seperti tidak mengambil pengajaran daripada tunggakan yang berlaku sebelum ini sehinggakan ia terjadi sekali lagi.

Perkara ini dilihat mampu menjejaskan reputasi naib presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Noor Azman Rahman yang baru sahaja dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini juga mampu memberi kesan terhadap reputasi pasukan kerana sudah tentu para pemain terutama pemain import akan berfikir dua tiga kali untuk menyertai Melaka United selepas ini.