Akademi Tunas Selangor fokus kepada pembangunan pemain muda, utamakan minit permainan untuk beri lebih peluang

1,961

Akademi Tunas Selangor (AT Selangor) merupakan sebuah inisiatif dibawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Program latihan ini menjadi platform kepada pelatih-pelatih berusia di bawah 12 tahun di sekitar Selangor untuk mengasah bakat mereka serta meningkatkan lagi kualiti permainan dari peringkat awal.


Tambahan pula, AT Selangor tidak memberi penekanan kepada keputusan perlawanan bahkan lebih memberi fokus kepada proses pembangunan akar umbi selaras dengan matlamat penubuhan NFDP.

Perkara ini diperakui oleh jurulatih Akademi Tunas Petaling Perdana (ATPP), Shaun Scully yang menitikberatkan soal peluang bermain kepada semua pelatihnya dari umur lapan dan sembilan tahun.

“NFDP lebih mementingkan kepada pembangunan dan bukan prestasi semata-mata.

Saya akan pastikan semua pemain dapat minit permainan kerana ia akan membantu para pemain untuk lebih cerdas di atas padang.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Shaun juga sedar tentang corak pemikiran kanak-kanak di usia sebegini yang masih belum boleh memproses arahan yang kompleks dan lebih taktikal.

Kesemua jurulatih di AT Selangor menjadikan pendedahan sebagai matlamat utama pada setiap sesi latihan bagi membolehkan para pelatih yang dibimbing boleh terus meningkat tanpa sebarang masalah.

“Untuk peringkat umur ini, taktikal tidak diberikan penekanan sangat hanya lebih kepada memberitahu para pemain kedudukan dan posisi yang sesuai untuk mereka.

Sekiranya kita terus melatih melebihi perkara tersebut, kemungkinan kanak-kanak akan sukar memahami.” tambah Shaun.

Jurulatih AT Selangor B-12 Wanita, Shahira Aqilah turut berkongsi pendekatan yang sama tatkala beliau melatih skuad wanita tidak memiliki peluang yang banyak untuk beraksi pada ketika ini.

Kekerapan diturunkan pada perlawanan sebenar akan memberikan keyakinan kepada pelatih muda ini.

Program yang dijalankan oleh NFDP ini dilihat cukup bersesuaian dengan usaha menggalakkan lagi lebih ramai pemain bola sepak wanita negara pada masa hadapan.

“Saya pentingkan minit permainan, saya akan berikan peluang kepada semua pelatih walaupun berhadapan dengan lawan yang sukar untuk mengelakkan daripada mereka hilang semangat dan minat untuk terus bermain.” ujar Shahira

Perjalanan para pemain ini tidak akan terhenti setakat di sini sahaja, pihak NFDP telah memiliki struktur perancangan masa depan untuk para pelatih ini selepas menghabiskan sekolah rendah.

Matlamat utama adalah untuk pelatih layak ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD), namun ia tidak bermakna mereka yang tidak terpilih akan terpaksa menamatkan perjalanan bola sepak mereka.

Hal ini diterangkan dengan lebih jelas oleh jurulatih Akademi Tunas Setia Alam (ATSA), Azhar Ishak tentang perancangan masa depan untuk semua pelatih.

“Sekiranya pelatih tidak berjaya mendapat tempat di AMD, kita tetap ada cabang lain seperti Sekolah Sukan Negeri dan juga Pusat Latihan Daerah untuk pemain berumur 13 tahun ke atas.” kata Azhar.

Perancangan serta program latihan yang dijalankan dapat menyumbang kepada pembangunan lebih ramai pemain masa depan yang mempunyai kualiti dan kemampuan untuk menjulang nama negara.

Semoga dengan kewujudan pusat latihan yang semakin bertambah ini dapat membantu usaha dalam melahirkan kumpulan pemain masa depan yang lengkap dari segala aspek.