Pemilihan E. Elavarasan sebagai ketua jurulatih skuad B-23 supaya selari dengan falsafah Kim Pan-gon – Scott O’Donell
Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell memberitahu pemilihan E. Elavarasan sebagai ketua jurulatih skuad B-23 yang baru dibuat kerana mahu falsafah yang akan diterapkan selari dengan skuad utama kendalian Kim Pan-gon.
Walaupun kini memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad B-23 menggantikan Brad Maloney, namun Elavarasan akan turut kekal sebagai penolong ketua jurulatih Pan-gon dalam skuad senior.
“Walaupun terdapat banyak calon yang berminat untuk memegang jawatan ini, namun kami telah membuat keputusan untuk melantik seorang jurulatih yang mempunyai falsafah selari dengan skuad senior,”
katanya.
Tambahnya lagi, Elavarasan sudah bersama dengan barisan kejurulatihan Pan-gon lebih enam bulan dan beliau sudah memahami falsafah pengendali dari Korea Selatan itu dan mereka boleh bekerjasama dengan baik bersama.
Selain Elavarasan, FAM turut melantik barisan kejurulatihan baru iaitu Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai penolong jurulatih, Kris Yong jurulatih penjaga gol dan dua jurulatih dari Korea Selatan, Jihyeon Park; jurulatih kecergasan dan Lee Jeyoon; jurulatih analisis prestasi.
Dalam pada itu, O’Donell berkata pihaknya tidak melihat dari negara mana seseorang jurulatih itu datang, sebaliknya pemilihan jurulatih dibuat demi kebaikan bola sepak Malaysia.
Terdahulu, jawatan ketua jurulatih skuad B-23 negara menjadi tanda tanya ramai selepas Brad Maloney melepaskan jawatan berikutan kegagalan skuad di bawah bimbingannya di kejohanan Piala AFF B-23, Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23.