Kritikan terhadap atlet harus membina bukan ‘membunuh’, sokongan pula perlu berpada-pada jangan sampai ‘dimanja’

757

Arena sukan badminton negara baru-baru ini dikejutkan dengan ugutan bunuh yang diterima oleh wartawan sukan dari Astro Arena, Hafizal Hamad daripada peminat badminton tempatan sehingga menyebabkan beliau membuat laporan polis.

Ia gara-gara komen ‘pedas’ yang diberikan oleh wartawan itu terhadap perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia yang terkandas awal di beberapa kejohanan baru-baru ini dalam sebuah rancangan.


Bukan sahaja Hafizal, seorang lagi personaliti media, Amin Idris turut dikecam ramai peminat badminton gara-gara kritikan yang diberikan olehnya di media sosial.

Mungkin komen yang dikeluarkan oleh Hafizal kedengaran agak kasar kerana mempersoalkan semangat kenegaraan pemain itu.

Tidak salah untuk mengkritik atlet, terutama apabila mereka gagal menampilkan prestasi yang memberangsangkan di beberapa kejohanan.

Namun, kritikan yang diberikan haruslah membina dan menggunakan perkataan yang sesuai supaya ia tidak menjadi kecaman semata-mata.

Lagipun, personaliti media mempunyai pengaruh yang besar dan boleh menyebabkan orang lain turut ikut mengecam atlet dengan perkataan yang tidak elok.

Kritikan yang membina sudah tentu akan menaikkan lagi semangat seorang atlet untuk meningkatkan tahap permainannya.

Apabila atlet diberi kritikan, peminat pula tidak perlulah melebih-lebih mempertahankan atlet sehingga sanggup membuat ugutan bunuh.

Kritikan adalah ‘asam garam’ dalam arena sukan dan mana-mana atlet sudah tahu akan perkara ini sebelum melibatkan diri.

Jika atlet langsung tidak boleh ‘disentuh’ dan sentiasa disanjung walaupun tidak memberikan persembahan yang baik, sudah tentu mereka akan berada di zon selesa dan sukar untuk meningkatkan tahap permainan.

Tanpa kritikan, atlet akan menjadi ‘manja’ dan budaya melindungi atlet dari sebarang kritikan hanya akan menjatuhkan karier atlet itu sendiri.