Sarawak United FC tak malukah ditegur TMJ? Sampai bila nak harap baginda saja selesaikan masalah gaji
Umum sudah mengetahui isu tunggakan gaji pasukan Sarawak United yang kecoh baru-baru ini selepas heboh dilaporkan di media.
Walaupun kelab itu sebelum ini pernah dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akibat gagal mematuhi tempoh untuk melunaskan bayaran gaji tertunggak, denda itu seperti sia-sia sahaja dan langsung tidak diambil pengajaran oleh pengurusan kelab.
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sendiri sudah memberikan dua notis kepada pihak pengurusan tetapi kelab masih belum menyelesaikan tunggakan itu.
Malaysian Football League (MFL) juga terpaksa masuk campur dengan menyalurkan dana berjumlah RM100,000 yang dipotong melalui hak penyiaran pasukan itu.
Isu gaji tersebut menyebabkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masuk campur dengan memberi ‘peringatan’ kepada kelab itu melalui komen ringkas di Instagram yang berbunyi: “ Bayar gaji”.
Walaupun baginda tidak lagi menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun MFL, seringkali menjadi ‘penyelamat’ dan orang tengah untuk menyelesaikan isu tersebut.
Sebelum ini, baginda mendedahkan pernah membantu untuk menyelesaikan masalah gaji lima pasukan Liga Malaysia iaitu Selangor FC, Kelantan FC, Penang FC, Melaka United FC dan Perak FC.
Sepatutnya pengurusan Sarawak United berasa malu gagal menyelesaikan tunggakan gaji sehingga ditegur oleh TMJ di ruangan umum seperti Instagram.
Presidennya, Datuk Poja Majais pula harus lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu ini memandangkan beliau memegang jawatan yang tinggi dalam FAM iaitu sebagai naib presiden.
Bagaimanakah seorang yang memegang jawatan yang tinggi dalam badan induk bola sepak negara tidak mampu menjaga kelabnya?
Beliau harus mengambil serius teguran daripada TMJ dan menyelesaikan isu ini dengan segera memandangkan pelbagai pihak terutamanya, Ultras Crocs dan PFAM sedang meneliti perkara ini.
Teguran dan bantuan TMJ juga harus dihargai oleh peminat bola sepak tempatan kerana baginda menunjukkan bahawa baginda ambil tahu dan juga cakna mengenai masalah yang menimpa pasukan lawan.
Mungkin ada yang menganggap baginda sebagai ‘busy body’ tetapi sekiranya baginda tidak masuk campur, mungkin banyak lagi kelab yang mengambil sikap acuh tak acuh mengenai gaji.