Naturalisasi Lee Tuck wujudkan satu trend buruk dalam bola sepak Malaysia?

4,629

31 Ogos adalah satu hari yang amat bersejarah buat rakyat Malaysia kerana ia merupakan hari di mana Malaysia bebas daripada penjajahan British dan menjadi sebuah negara berdaulat.

Di sebalik kegembiraan rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan semalam, pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck turut bergembira kerana beliau secara rasminya bergelar rakyat Malaysia setelah sekian lama menunggu.


Beliau mengumumkan di laman Instagramnya bahawa proses naturalisasinya telah berjaya dilengkapkan selepas mengharungi pelbagai cabaran dan melakukan pengorbanan.

Namun perkara itu nampak seakan-akan janggal kerana Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini pernah menolak untuk menaturalisasikan bekas pemainnya, Gonzalo Cabrera disebabkan undang-undang yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL).

Menurut MFL, pemain naturalisasi bukan warisan perlu menjadi warganegara Malaysia untuk lima tahun selepas mendapat kerakyatan sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, melainkan di bawah program naturalisasi kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini bermakna seorang pemain asing perlu bermain selama 10 tahun di Liga Malaysia sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain naturalisasi.

FAM juga diketahui telah ‘menutup pintu’ buat program naturalisasinya dan hanya membenarkan kelab sahaja berbuat demikian.

Lee Tuck pula hanya mula bermain di Malaysia sejak 2017, bermakna beliau baru sahaja berada di sini selama lima tahun.

Jadi, adakah kes yang melibatkan Lee Tuck ini boleh berlaku lagi selepas ini? Ia menunjukkan seperti undang-undang berbeza terpakai melibatkan pemain-pemain lain.

Tambahan pula, rata-rata peminat bola sepak tempatan tidak bersetuju dengan naturalisasi itu disebabkan umurnya yang sudah mencapai 34 tahun dan hanya mampu bermain dua atau tiga tahun saja lagi di peringkat tertinggi.

Peminat juga kini pastinya tertunggu-tunggu proses naturalisasi seorang lagi pemain Sri Pahang, Sergio Aguero yang dikatakan sedang berjalan.