Lee Zii Jia mampu kembali ke prestasi sebenar jika dapat bantuan urus tekanan yang dihadapinya

495

Sejak kebelakangan ini nama pemain badminton perseorangan utama negara, Lee Zii Jia menjadi sebutan ramai selepas kegagalan beliau di Kejohanan Dunia BWF 2022.

Kekalahan Zii Jia di pusingan 16 Kejohanan Dunia di tangan pemain China, Zhao Junpeng yang berada di ranking lebih bawah menyebabkan beliau dikritik hebat oleh segelintir pihak.


Kritikan dan kecaman terhadap pemain badminton berusia 24 tahun itu menjadi lebih parah apabila ada yang menyindir dengan kekalahannya di Kejohanan Dunia sebagai balasan selepas beliau menarik diri dari menyertai Sukan Komanwel Birmingham

Zii Jia seakan-akan terkesan dengan segala kritikan dan tohmahan apabila beliau sekali lagi tumpas awal dalam kejohanan Terbuka Jepun 2022.

Dua kekalahan di peringkat awal dalam tempoh yang singkat ternyata memberi tekanan yang cukup besar buat Zii Jia.

Ada di kalangan peminat setia pemain kelahiran Kedah dapat melihat bagaimana tekanan besar yang memberi impak kepada corak permainannya yang dilihat tidak seperti biasa.

Tidak cukup dalam gelanggang, di luar gelanggang juga penuh dengan ‘drama’ membabitkan peminat dan pengkritik sehingga ada yang bertindak keterlaluan dengan membuat ugutan bunuh terhadap pengamal media.

Suka atau tidak situasi yang berlaku kepada Zii Jia ketika ini boleh dikatakan berpunca daripada tindakannya awal tahun lalu yang mengambil keputusan untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi pemain profesional.

Ketika ini beliau sudah pun menerima pelbagai kritikan pedas terhadap keputusannya itu, namun harapan peminat badminton negara sentiasa tinggi untuk melihat beliau merangkul lebih banyak kejuaraan dan ini membuatkan Zii Jia sentiasa berada dalam keadaan tekanan yang cukup tinggi.

Perkara itu didedahkan oleh seorang bekas pemain antarabangsa yang tidak mahu identitinya didedahkan kepada sebuah akhbar tempatan yang mengakui Zii Jia gagal mengatasi segala tekanan.

Jelas bekas pemain itu lagi, pemain itu memerlukan bantuan dan bimbingan yang boleh memberikannya nasihat dari segi perancangan, program latihan, cara berkomunikasi secara umum dan menjaga imej.

Berdasarkan situasi yang dihadapi oleh Zii Jia ketika ini, beliau perlu segera mendapatkan rawatan dengan ahli psikologi kerana kesihatan mental sangat penting buat pemain badminton sepertinya berikutan beliau perlu menggunakan kecergasan minda dalam merangka strategi terbaik ketika beraksi.

Masalah kesihatan mental bukan sesuatu perkara yang remeh kerana ia mampu menimbulkan pelbagai lagi masalah yang tidak diingini sekiranya tidak dirawat dengan cepat.

Kepada peminat pula, teruskan memberi sokongan padu buat Zii Jia supaya beliau dapat mengembalikan prestasi sebenar sekaligus menjadi pemain digeruni lawan setaraf dengan rankingnya kini berada di kedudukan keempat dunia yang juga ranking paling tinggi dikecapinya.

Zii Jia perlu percaya bahawa ‘Ada hikmah disebalik musibah’ dan beliau harus bekerja dengan lebih keras lagi kerana ramai yang masih percaya dengan kemampuannya untuk terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Ayuh bangkit Zii Jia!