Zamsaham mahu khidmat Lim Teong Kim bersama Kelantan FC, namun kos main peranan

1,943

Pemilik kelab TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman mengakui sudah pun berkomunikasi dengan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim untuk berbincang mengenai perancangan bersama pasukannya.

Norizam atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham bagaimanapun berkata kos akan memainkan peranan yang cukup penting sekiranya mahukan khidmat Teong Kim.


“Saya memang pernah berhubung dengan Lim Teong Kim untuknya bersama pasukan Kelatan, tetapi kos akan memainkan peranan jika mahu bawanya ke dalam pasukan.

Jika ia menjadi kenyataan, Teong Kim tidak akan menjadi ketua jurulatih, sebaliknya beliau berkemungkinan akan berada dalam barisan teknikal pasukan (Pengarah Teknikal),”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga mengakui ia adalah perancangan sukar untuk direalisasikan kerana sedar akan jumlah bayaran tinggi yang perlu dibayar jika mahu mendapatkan khidmat bekas jurulatih pasukan pembangunan Bayern Munich itu.

Terdahulu, timbul spekulasi yang mengatakan Teong Kim berkemungkinan besar akan menggantikan ketua jurulatih Kelantan ketika ini iaitu Rezal Zambery Yahya berikutan jurulatih berusia 43 tahun itu tidak mempunyai lesen kejurulatihan untuk mengendalikan pasukan di Liga Super.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai calon ketua jurulatih The Red Warriors yang baru pada musim depan, beliau sudah pun mempunyai senarai calon-calon yang berkemungkinan akan menyertai pasukan dari Pantai Timur itu.

“Untuk ketua jurulatih sudah pasti akan ada perubahan pada musim depan dengan saya sedang mempertimbangkan beberapa calon dari negara Eropah, Jepun dan Korea Selatan tetapi saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu.”

Sementara itu, Zamsaham turut memberi bayangan bakal membina stadium baru apabila memaklumkan beliau sudah pun melawat tapak berkeluasan 40 ekar di Kelantan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi tapak tersebut termasuk tidak memberitahu tujuan lawatan ke tapak itu.

Zamsaham juga sedang dalam perancangan untuk menubuhkan TRW International Football Academy dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.