Luqman Hakim ke Kelantan FC, ‘Besar tapak tangan nyiru ditadahkan’ – Zamsaham

3,679

Pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman sangat mengalu-alukan sekiranya penyerang skuad kebangsaan Luqman Hakim yang juga anak jati Kota Bharu, Kelantan ingin bermain bersama pasukannya pada musim depan.

Luqman ketika ini beraksi bersama kelab KV Kortrijk di Liga Belgium sejak 2020 menjadi sebutan ramai apabila beliau sering diketepikan dan belum pernah membuat penampilan rasmi bersama skuad utama, sebaliknya beliau hanya diturunkan pada perlawanan persahabatan sahaja.


“Saya sedia menerima Luqman Hakim bila-bila masa saja. Jika beliau mahu bersama kita untuk musim 2023, ‘besar tapak tangan nyiru ditadahkan’. Kena tanya tuan badan sendiri samada beliau mahu atau tidak.

Dari tiada minit permainan di sana, lebih baik main di Kelantan yang sudah pasti beliau akan mendapat minit permainan yang banyak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Zamsaham lagi, beliau terbuka untuk menerima mana-mana anak jati Kelantan yang beraksi di luar negara berhasrat mahu bermain bersama pasukannya.

Terdahulu, ada pihak yang mahu Luqman berhijrah ke pasukan lain atau pulang bermain di tanah air supaya beliau dapat minit permainan berikutan beliau masih lagi belum diturunkan walaupun sudah dua tahun bersama kelab itu.

Dalam pada itu, Kelantan pada musim depan sudah pasti akan bersaing dalam saingan Liga Super dan Zamsaham sudah pun mempunyai perancangannya tersendiri.

“Walaupun bajet kita tidak besar tetapi insyaAllah untuk tahun depan saya sasar untuk kita berada dalam kedudukan Top 5 Liga Super kerana ia realistik dan logik dengan keadaan pasukan. Kita bukannya pasukan yang dapat dana daripada kerajaan negeri.”

Beliau bagaimanapun berkata beliau akan berasa sangat bersyukur jika pihak kerajaan negeri Kelantan berbesar hati ingin memberi dana kepada pasukannya.

Kelantan kini berada di tangga kedua Liga Perdana berkongsi mata dengan pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT II), namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Mereka mempunyai baki dua perlawanan iaitu menentang Selangor II dan Kelantan United FC dan perlu mengutip mata maksimun jika mahu merangkul trofi Liga Perdana 2022 dengan harapan JDT II akan keciciran mata dalam baki perlawanan mereka.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen