JDT tiada masalah jika AFC mahu wujudkan AFC Elite League ganti ACL tapi perlu beri masa pada kelab untuk buat persiapan

3,000

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak menentang cadangan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mahu mewujudkan kejohanan baru iaitu AFC Elite League bagi menggantikan AFC Champions League (ACL) pada 2024.

Bidoglio bagaimanapun berkata jika AFC ingin memperkenalkan kejohanan baru itu mereka perlu memberi masa kepada setiap pasukan untuk membuat persiapan.


“Saya tidak akan berkata ia bagus atau tidak tetapi jika ada perubahan ianya lebih baik jika semua pasukan diberikan masa untuk membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan menggunakan format baru.

Apa yang penting adalah kita perlu tahu bila dan masa untuk membuat persiapan untuk kejohanan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Baru-baru ini AFC dilaporkan telah menubuhkan Elite Club Competition Task Force untuk membuat penyelidikan mengenai kejohanan baru yang akan menggantikan ACL dengan AFC Elite League bermula 2024.

Elite Club Competition Task Force termasuk lapan negara iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, Qatar, Arab Saudi, Uzbekistan dan UAE.

Beberapa perubahan juga akan berlaku jika AFC Elite League diperkenalkan seperti ia akan membabitkan 20-24 kelab di Asia dengan setiap kelab perlu menepati kriteria baru AFC.

Menariknya untuk saingan ini, tiada syarat kuota import sebaliknya kelab bebas untuk menyenaraikan seberapa banyak pemain import yang mereka mahu.

Format juga akan diubah apabila mereka tidak akan bermain lagi dalam peringkat kumpulan, sebaliknya akan bermain secara fasa satu liga.

Setiap pasukan akan bermain lapan perlawanan dengan empat perlawanan di tempat sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan.

Pasukan Top 8 akan layak secara automatic ke peringkat kalah mati.

Keputusan samada rancangan untuk mewujudkan AFC Elite League akan direalisasikan atau tidak berkemungkinan akan diketahui pada tahun 2023.

Dalam pada itu, dalam perlawanan Liga Super malam tadi, JDT hampir dikejutkan pasukan Selangor FC apabila mereka hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Pada malam ini kita tidak berjaya mencapai kemenangan kerana pasukan lawan bermain dengan agresif dan kerana keadaan padang menyebabkan kami tidak dapat bermain seperti biasa kami main serta kami berdepan kesukaran.”

Walaupun hanya berjaya seri namun Bidoglio memuji barisan pemainnya yang beraksi dengan baik dan mereka akan terus bekerja keras untuk meningkatkan lagi prestasi mereka, malah beliau juga percaya mereka berada di landasan tepat untuk merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.