Saya mahu bantu JDT bawa pulang trofi Piala FA ke Johor – Shahrul Saad

832

Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad bertekad mahu membantu pasukannya membawa pulang trofi Piala FA apabila menentang Terengganu FC 10 September ini.

“Sasaran kedua kami selepas Liga Super adalah Piala FA untuk kami bawa pulang piala ke Johor. Jadi dalam tempoh beberapa hari ini kami akan perbaiki segala kelemahan untuk mempersiapkan diri untuk perlawanan akhir Piala FA nanti,”

katanya.

Tambahnya lagi, persiapan pasukan menjelang perlawanan akhir Piala FA kini berjalan dengan lancar dengan setiap pemain memberikan komitmen yang cukup tinggi.


Perlawanan akhir Piala FA akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Shahrul turut meluahkan sedikit kekecewaan apabila beliau dan rakan sepasukan gagal mengutip tiga mata menentang Selangor FC pada perlawanan Liga Super malam tadi.

Walaupun JDT berjaya memecah kebuntuan pada awal perlawanan menerusi sepakan penalti, namun mereka gagal beraksi dengan baik dan menyebabkan Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua untuk mereka terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan.

“Kita sudah memberikan yang terbaik, tetapi kita gagal untuk menjaringkan lebih banyak gol, sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada Selangor untuk melakukan serangan demi serangan.”

Walaupun hanya berkongsi satu mata, namun JDT masih kekal di puncak Liga Super dengan 42 mata selepas 16 perlawanan dan masih lagi belum pernah kalah.