Zamri Hassan tak berpuas hati dengan pemain KL Rovers yang kerap buat kesilapan mudah

784

Ketua jurulatih KL Rovers, Muhammad Zamri Hassan memberitahu bahawa beliau tidak berpuas hati dengan aksi pemainnya pada perlawanan separuh akhir pertama Liga M3 menentang BRM FC yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Menurut Zamri, pemainnya gagal settle down awal dan sering melakukan kesilapan mudah pada separuh masa pertama.


“Saya tak puas hati aksi pemain saya pada separuh masa pertama kerana mereka lambat settle down dan sering melakukan kesilapan mudah berulang kali.

Bagaimanapun pada separuh masa kedua saya telah membuat pertukaran pemain dan taktikal dan mereka berjaya mengawal permainan tetapi penyudah pula tumpul,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menyaksikan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan dengan menyaksikan KL Rovers mempunyai beberapa peluang yang cukup baik di hadapan gol tetapi gagal meletakkan bola di dalam gawang.

Walaupun gagal menjaringkan gol, namun beliau sedikit gembira apabila perlawanan berkesudahan tanpa jaringan sekaligus memberikan mereka sedikit kelebihan apabila beraksi pada perlawanan separuh akhir kedua di Ipoh, Perak pada 11 September ini.

“Pada saya daripada kita kena gol lebih baik 0-0 tetapi dekat sana (Ipoh) nanti kita perlu jaringkan gol awal untuk lebih selesa.”

Sementara itu, Zamri berkata beliau masih percaya bahawa pemainnya mampu pamer aksi lebih baik sekaligus dapat mara ke perlawanan akhir dan mencerahkan peluang mereka untuk beraksi di saingan play-off untuk naik ke Liga Super pada musim depan.