PIB FC akan tetap bermain seperti biasa di separuh akhir kedua, tekad kekang ‘counter-attack’ Imigresen FC

370

PIB FC berjaya menundukkan pasukan Imigresen FC (IFC) 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Liga M3 2022.

Perlawanan yang berlangsung sengit itu memihak kepada pasukan PIB FC selepas serangan bertali arus berjaya dilancarkan sejak minit pertama perlawanan.


Ketua jurulatih PIB FC, K. Ramachandran tetap berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya meskipun kealpaan di minit akhir telah menghukum barisan pertahanan selepas pasukan lawan berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk kembali merapatkan perbezaan jaringan.

“Kelekaan kita lepas satu gol untuk mereka bawa deposit ke Melaka nanti, tapi perkara itu tidak akan menjadi masalah.

Kami juga akan melakukan yang terbaik ketika bertemu mereka sekali lagi di Melaka nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tidak terkesan dengan situasi semasa, K Ramachandran percaya kemampuan pasukan ini untuk terus mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan separuh akhir kedua yang dijadual pada 11 September ini di Stadium Hang Jebat.

Beliau juga optimis dengan corak permainan sedia ada yang digunakan oleh PIB FC mampu membawa pasukan ini melangkah lebih jauh untuk mencapai sasaran mara ke perlawanan akhir.

“Mereka ada kelebihan satu jaringan di tempat lawan menjelang aksi kedua separuh akhir, tapi PIB FC akan bermain dengan taktikal yang biasa.

“Kami akan melebihkan fokus kepada counter-attack mereka kerana ia merupakan antara senjata merbahaya mereka.”

Keyakinan ini turut dikongsi oleh para pemain pasukan terutamanya Khairu Anwar Khazali yang telah berjaya mempamerkan aksi menyakinkan sepanjang perlawanan berlangsung.

Khairu juga yakin beliau dan rakan sepasukan mampu mengekalkan konsistensi semasa untuk mengekang kemaraan pemain pasukan IFC termasuk penjaring terbanyak Liga M3, Firdaus Azizul.

“Kami sudah mempelajari corak permainan Imigresen FC, semua pemain komited untuk mengawal permainan dengan sebaiknya.

Kalau kami mampu 90 minit, ia akan bantu kami untuk kekang pemain berpengalaman yang dimiliki oleh pasukan lawan.” kata Khairu.

Pasukan PIB FC perlu kekalkan fokus dan prestasi terbaik untuk terus menghidupkan peluang mereka layak ke Liga Super musim hadapan.

Mereka perlu mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah serta lebih menajamkan bahagian serangan dalam memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.

“Kami akan berhati-hati dan tidak terlalu selesa dengan kedudukan semasa, kita tengok perlawananan sebelum ini mereka boleh kalahkan pasukan seperti Harini FT.

Untuk perlawanan seterusnya, harap dapat mencapai kemenangan tanpa sebarang bolos.”