Noor Hazrul jamin BRM FC akan pamer aksi lebih baik di tempat sendiri
Penyerang BRM FC, Noor Hazrul mengakui pasukannya sedikit bergelut dan terpaksa bermain secara bertahan pada separuh masa kedua selepas bertali arus diasak oleh pemain KL Rovers dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga M3.
BRM bagaimanapun berjaya mengekang asakan dan berjaya mengelak dari dibolosi apabila mereka terikat tanpa jaringan selepas 90 minit permainan.
“Untuk separuh masa pertama saya berpuas hati dengan aksi kami, tetapi masuk separuh masa kedua agak longgar sedikit apabila pasukan tuan rumah terus memberi tekanan tinggi sekaligus memaksa kami untuk bermain secara bertahan.
InsyaAllah di Ipoh nanti kami akan buat dengan lebih baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, pengurus pasukan BRM iaitu Muhammad Aliff Noor Azaman berpuas hati dengan dengan persembahan pemainnya walaupun mereka sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Walaupun mengakui kelebihan akan berpihak kepada pasukan KL Rovers apabila format gol di tempat lawan akan diambil kira, namun beliau yakin dengan kemampuan pemainnya untuk beraksi dengan lebih baik di tempat sendiri nanti.
“Saya berpuas hati dengan aksi pemain hari ini, mereka sudah beri 100 peratus hari ini. Di sana (Ipoh) nanti kami akan pamer aksi lebih baik dan akan cuba dapatkan gol awal.”
Pada masa sama beliau juga sudah berbincang dengan penolong ketua jurulatih Ayub Abdul Samad mengenai kelemahan pemain pada perlawanan tadi dan akan memperbaiki untuk perlawanan kedua nanti.
“Saya beritahu pemain dan jurulatih bahawa keputusan dahulu adalah sejarah tapi yang akan datang nanti adalah masa depan kita kerana kita memang sasar mahu naik ke Liga Super satu hari nanti.”
Beliau pada masa sama menyeru peminat untuk turun ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan BRM nanti.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan separuh akhir kedua yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada 11 September ini.