Muhammad Hadi tak berpuas hati dengan aksinya, percaya mampu pamer aksi lebih baik selepas ini
Penyerang utama KL Rovers, Muhammad Hadi mengakui beliau sendiri tidak berpuas hati dengan aksinya pada perlawanan separuh akhir pertama Liga M3 menentang BRM FC malam tadi yang menyaksikan mereka hanya sekadar seri tanpa jaringan.
“Saya tidak boleh berkata berpuas hati sebab saya rasa saya boleh buat jauh lebih baik. Separuh masa pertama memang saya akui aksi memang teruk, tetapi pada separuh masa kedua saya ada beberapa peluang yang saya patut buat keputusan dengan lebih baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi, BRM FC bermula garang apabila menguasai permainan pada separuh masa pertama tetapi buntu mendapatkan gol.
Bermula separuh masa kedua pula, KL Rovers tampil lebih garang dengan kedua-dua pasukan melakukan serangan bertali arus tetapi masih gagal meletakkan bola di dalam gawang sehingga tamat perlawanan.
Untuk perlawanan separuh akhir kedua di Ipoh, Perak pada 11 September ini, KL Rovers mempunyai sedikit kelebihan apabila mereka akan bermain di tempat lawan yang mana gol di tempat lawan akan diambil kira.
“Betul KL Rovers akan ada sedikit kelebihan, matlamat kami masih sama iaitu mahu mendapatkan gol di tempat lawan. Kami akan berikan aksi terbaik kerana sebelum ini kami sudah mempunyai pengalaman beraksi di sana dan berjaya menang, jadi saya rasa tiada tekanan kepada kami.”