Tindakan Dr Johan di khalayak umum kurang wajar, bahayakan keselamatan pengadil

4,870

Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan tindakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon melontarkan makian kepada pengadil perlawanan antara pasukan Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Zulkarnain Zakaria selepas tamat perlawanan.

Berdasarkan video, insiden tersebut dilihat berlaku di perkarangan Stadium MBPJ yang menjadi tuan rumah kepada perlawanan sengit di antara kedua-dua pasukan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.


Tindakan tersebut boleh dianggap tidak wajar dilakukan oleh seorang barisan pimpinan tertinggi sesebuah kelab yang seharusnya menggunakan pendekatan lebih profesional terlebih dahulu.

Sekiranya ‘pengadil botak’ mengakui kesilapannya pada ketika itu, besar kemungkinan untuk beliau berhadapan dengan ancaman keselamatan tatkala ramai penyokong pasukan yang masih berada di sekitar kawasan tersebut.

Pada perlawanan tersebut, Zulkarnain telah menghadiahkan satu sepakan penalti kepada pasukan JDT yang dimanfaatkan oleh penyerang, Bergson da Silva pada minit ke-33.

Keputusan penalti tersebut menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan semua peminat Selangor FC termasuk Dr Johan sendiri selaku CEO.

Namun begitu, ia tidak boleh menjadi alasan kepada perilaku beliau yang seharusnya menunjukkan contoh teladan kepada peminat dan orang ramai.

Lebih-lebih lagi, kewujudan media sosial pada hari ini menyebabkan sesebuah video atau perkhabaran disebarkan dalam kadar yang cukup pantas.

Mustahil tiada peminat atau orang sekeliling yang akan merakamkan dan menyebarkan video tersebut demi mencari populariti mereka di platform digital seperti TikTok dan sebagainya.

Jelas sekali, apa yang dilakukan oleh Dr Johan hanya akan memakan diri beliau sendiri kerana berisiko untuk berhadapan dengan hukuman berat yang bakal dikenakan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebagai peminat bola sepak, harus diakui bahawa keputusan pengadil di dalam padang adalah muktamad dan tidak dapat diubah.

Sekiranya berlaku sebarang kesalahan dalam pengadilan, seharusnya perkara tersebut dibiarkan kepada pihak separti FAM dan Malaysian Football League (MFL) untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Pengadil tidak akan lari dari melakukan kesilapan, sekiranya ada sebarang pertolongan seperti sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) mungkin akan membantu meningkatkan mutu pengadilan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, selain daripada pemberian penalti kontroversial tersebut, perlu diakui Zulkarnain ada melakukan beberapa keputusan yang memihak kepada pasukan Selangor FC.

Perkara ini menolak dakwaan peminat sebelum ini yang menyifatkan beliau sebagai ‘pengadil berat sebelah’.

Peristiwa ini perlu menjadi contoh kepada kesemua pihak pengurusan pasukan-pasukan di Malaysia dalam menggunakan saluran yang tepat bagi mempersoalkan kredibiliti dan keputusan pengadil perlawanaan.

Sebelum ini, ada beberapa jurulatih seperti ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh yang telah dikenakan hukuman dari pihak FAM akibat tindakan beliau sewenang-wenangnya mengkritik mutu pengadilan pada tahun 2017.

Pihak bertanggungjawab seperti FAM dan MFL perlu bekerjasama mencari solusi segera dalam meningkatkan lagi kualiti pengadilan di Malaysia pada tahun yang akan datang.