Hector Bidoglio gagal berikan sebarang impak, timbulkan keraguan di kalangan peminat
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Hector Bidoglio masih gagal membuktikan kemampuannya selepas sebulan dilantik.
Meskipun hanya tewas satu kali dalam enam perlawanan yang telah dikendalikan oleh beliau setakat ini, pendekatan permainan yang diterapkan oleh Hector sedikit meragukan peminat.
JDT kini tampak lebih menekankan corak permainan ‘posession play’ dan tidak memperbanyakkan serangan-serangan merbahaya ke gawang lawan di samping ‘pressing’ yang dilihat tidak begitu kerap dan menjadi.
Pada masa yang sama, taktikal permainan ini menyebabkan pasukan JDT kini dilihat mempunyai ‘gameplay´ yang agak perlahan dan tidak mengancam.
Sebagai contoh, mereka hanya mampu mencatatkan keputusan seri dengan pasukan Selangor FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ.
Keputusan tersebut mengejutkan para peminat tatkala pasukan lawan sedang bergelut untuk mencari kemenangan pada perlawanan-perlawanan sebelumnya.
Lebih menyedihkan, pada pusingan pertama liga Jun lalu, pasukan Harimau Selatan yang pada ketika itu dibimbing oleh bekas ketua jurulatih, Benjamin Mora telah membelasah pasukan Selangor FC 5-1.
Pada perlawanan tersebut, JDT dilihat lebih bebas bergerak dengan melakukan serangan bertali arus ke arah gawang Selangor.
Situasi yang jelas berbeza pada perlawanan kedua, pemain JDT dilihat tidak dapat beraksi dengan baik dan gagal melakukan serangan merbahaya dan hanya diselamatkan oleh penalti yang dihadiahkan pada permulaan perlawanan.
Bidoglio setakat ini masih gagal menjadi ‘fans’ favourite’, berbeza dengan Mora sebelum ini yang cukup digemari oleh peminat dengan kejayaan demi kejayaan yang berjaya beliau kecapi bersama pasukan, tambahan dengan ‘presentation’, ‘aura’ dan ‘passion’ beliau.
Bidoglio yang berasal dari Venezuela, sebenarnya tidak fasih berbahasa Inggeris dan ini mungkin menyebabkan kesukaran komunikasi di antara beliau dan kesemua pemain kecuali beberapa pemain import yang berasal dari Amerika Selatan.
Keadaan ini sedikit sebanyak akan merencatkan momentum pasukan menjelang perlawanan akhir Piala FA bertemu Terengganu FC yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.
Meskipun JDT diletakkan sebagai calon juara, Terengganu FC akan tetap menjadi ancaman yang hebat pada perlawanan tersebut berdasarkan prestasi mereka dalam beberapa siri perlawanan terakhir.
Skuad Sang Penyu kini berada dalam momentum yang cukup baik selepas mereka berjaya membenam pasukan Melaka United FC 5-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Sabtu lalu.
Keadaan penjaga gol utama, Rahadiazli Rahalim yang semakin pulih akan turut memberi kesan kepada moral pasukan.
Rahadi sebelum ini telah dikejarkan ke hospital selepas penjaga gawang tinggi lampai ini bertembung dengan pemain Melaka United, Harith Naem pada minit ke-46.
Menerusi posting di akaun Instagram miliknya, Rahadi dilihat dalam keadaan yang baik dan berkemungkinan besar akan diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA seperti yang diinginkan oleh ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain.
Terdahulu, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir turut mengakui kemampuan pasukan TFC dalam melakukan kejutan ke atas JDT untuk bergelar juara Piala FA tahun ini.
Bidoglio perlu memastikan Piala FA menjadi milik pasukan JDT bagi mengambil hati para peminat untuk lebih yakin kepada kemampuan beliau dan terus memberikan peluang.