Racing FC akui minat terhadap dua pelatih AMD, perlu lebih banyak peluang seperti ini kepada pemain muda negara
Dua pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Haykal Danish dan Rohisham Haiqal bakal berkelana ke Eropah selepas kedua-dua mereka berjaya menarik minat kelab Luxembourg, Racing FC selepas menjalani sesi percubaan pada Jun yang lalu.
Kedua-dua pemain ini pernah beraksi untuk pasukan B-13 gergasi Perancis, Paris Saint Germain dalam sebuah kejohanan di Rome pada tahun 2018.
Minat yang dinyatakan oleh pasukan Racing FC ini cukup membanggakan kesemua peminat bola sepak tanah air tatkala kelab ini sememangnya meminati kebolehan kedua-dua pemain dan tidak memiliki sebarang kaitan dengan mana-mana individu atau pelabur dari Malaysia.
Situasi ini sedikit berbeza dengan seorang lagi pemain negara di Eropah, Luqman Hakim yang kini beraksi bersama pasukan K.V. Kortrijk.
K.V. Kortrijk merupakan sebuah kelab Belgium yang dimiliki oleh ‘business tycoon’ Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.
Selain kelab Belgium tersebut, beliau juga memiliki beberapa buah kelab lain seperti Cardiff City FC, FK Sarajevo serta Los Angeles FC.
Meskipun Luqman berjaya melebarkan sayap ke kelab tersebut, namun beliau dilihat tidak menjadi pilihan untuk diturunkan dan kerap disingkirkan dari matchday squad.
Situasi ini memberi kesan kepada permainannya yang dilihat merudum sewaktu mewakili pasukan B-23 negara di temasya Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23 tahun ini.
Terdahulu, Luqman merupakan antara prospek besar negara tatkala beliau berjaya mempamerkan aksi cemerlang menjadi penjaring terbanyak dalam Piala Asia B-16 pada tahun 2018 yang lalu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh terus berharap kepada kelab yang dimilikii oleh warga Malaysia semata-mata dan perlu mula mencari lebih banyak peluang bagi menghantar pemain muda berbakat yang dimiliki oleh negara ke pasukan-pasukan di serata dunia.
Dengan bantuan Vincent Tan sebelum ini, ada beberapa orang pemain negara seperti Safee Sali pernah dihantar untuk menjalani sesin latihan bersama Cardiff City namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil.
FAM selepas ini mungkin boleh cuba untuk mendapatkan peluang bersama kelab-kelab dari divisyen bawahan negara di Eropah yang tetap memiliki potensi yang besar dalam membantu pembangunan pemain muda negara.
Peluang yang dimiliki oleh Haykal dan Rohisham ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi terus membuka mata pemerhati bola sepak di luar negara terhadap kemampuan ‘ubi muda’ Malaysia yang semakin berkualiti.
Buat masa ini, masih belum ada mana-mana pemain negara yang beraksi di Eropah berjaya membuktikan sesuatu.
Kedua-dua pelatih AMD berusia 17 tahun ini perlu segera menyusaikan diri dan merebut tempat setibanya mereka di kelab tersebut.
Racing FC kini berada di tangga keempat Liga Nasional Luxembourg selepas mengumpul tiga kemenangan pada lima perlawanan terakhir musim ini.