Haykal Danish bersedia jika terima tawaran dari Racing FC, impian dari awal selaku pemain bola sepak
Pemain skuad B-19 negara, Haykal Danish telah dikhabarkan bakal menerima satu tawaran daripada kelab Luxembourg, Racing FC yang berminat dengan bakat dimiliki oleh beliau dan seorang lagi rakan sepasukan, Rohisham Haiqal.
Kedua-dua pemain ini telah menjalani sesi percubaan bersama kelab tersebut pada Jun lalu namun setakat ini masih belum ada tawaran rasmi telah dikemukakan.
“Saya belum mendapat sebarang informasi tentang perkara ini setakat ini jadi saya tidak berani untuk memberi komen.
Saya akan menunggu keputusan yang bakal dikeluarkan oleh pihak Akademi Mokhtar Dahari,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain yang berasal dari Klang tersebut mengakui teruja dan bersedia sekiranya diberi peluang untuk berkelana ke Eropah.
Haykal yang kini berumur 17 tahun dilihat memiliki potensi besar berdasarkan prestasi yang dipamerkan oleh beliau pada beberapa kejohanan sebelum ini.
“Saya bersedia kerana ini adalah apa yang saya impikan dari dulu, ketika kita mula bermain bola sepak kita sudah meletakkan impian untuk beraksi di peringkat yang tertinggi.”
Terdahulu, beliau juga pernah beraksi bersama skuad B-13 Paris Saint Germain (PSG) dalam sebuah kejohanan yang diadakan di Rome pada tahun 2018.
Pengalaman beliau yang sudah beberapa kali berkelana ke luar negara untuk berlatih membantunya lebih bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran dan halangan.
”Cuaca salah satu masalah yang perlu saya sesuaikan diri, ada juga latihan berintensiti tinggi yang tinggi tapi saya sudah biasa dengan perkara tersebut.” tambah Haykal.
Pada masa yang sama, Haykal juga akan menjadi antara harapan utama skuad B-19 negara pada pusingan kelayakan Piala Asia B-20 yang bakal membuka tirai pada 14 September ini.
Beliau yang sebelum ini cemerlang membantu pasukan muda negara menjuarai Piala AFF B-19 tahun ini akan terus diperlukan bagi menghidupkan peluang negara layak ke kejohanan terbesar Asia itu.
Ketua jurulatih pasukan, Hassan Sazali sedang giat melakukan persiapan terakhir menjelang perlawanan pertama menentang tuan rumah, Mongolia.
“Bagi saya, kita sudah melakukan persiapan yang baik dan semua pemain telah melaporkan diri.
Saya rasa kita boleh layak ke Piala Asia, saya hendak menjaringkan gol dan mencapai tahap terbaik saya.”
Pasukan negara juga perlu bersedia menghadapi cabaran getir selepas turut diundi bersama pasukan gergasi Asia, Korea Selatan di samping Sri Lanka dalam Kumpulan E.
Kelincahan Haykal di bahagian serangan akan terus ditagih bagi memastikan misi wajib menang pada dua perlawanan awal dapat dicapai dengan mudah.