Bola sepak wanita di Malaysia masih belum terlambat, tak mustahil ke Piala Dunia Wanita – Dr Siti Faidul Maisarah

490

Timbalan pengerusi jawatankuasa bola sepak wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah berpendapat bahawa masih belum terlambat buat bola sepak wanita di negara untuk mengejar negara-negara besar lain yang sudah meningkat.

Menurutnya, tidak salah untuk skuad wanita kebangsaan untuk bermimpi layak ke Piala Dunia Wanita sekiranya setiap pihak mengambil tanggungjawab untuk memperkasakan bola sepak wanita.


“Kita lihat banyak persatuan negeri yang sudah mula menganjurkan liga sendiri seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka, ini adalah satu perkembangan yang baik dan kami di FAM sendiri seronok untuk melihat muka-muka baru.

Mungkin selepas ni kalau kita boleh cadangkan supaya setiap kelab bola sepak harus adakan pasukan wanita masing-masing, dan kalau itu terjadi ia hanyalah akan menjadi satu kesinambungan buat bola sepak wanita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, dari segi dana, FAM ada menyalurkan dana dari segi subsidi dan hadiah wang tunai kepada pihak yang menganjurkan Liga Wanita Nasional (LWN), dan memberi subsidi kepada pasukan yang menyertai Piala Tun Sharifah Rodziah.

Katanya, sekiranya perkara itu dapat dicontohi di peringkat negeri, ia mampu menyemarakkan lagi bola sepak wanita di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, FAM sudah mempunyai beberapa calon ketua jurulatih wanita kebangsaan namun tidak mendedahkan butirannya.

“Kita dah lakukan beberapa temuduga terhadap jurulatih luar negara dan kami masih lagi menilai, jadi nama akan didedahkan selepas keputusan dibuat.

Sama ada beliau akan tiba dengan pasukan sendiri atau tidak ia akan diputuskan kemudian.”

Beliau mengakui, presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin telah melakukan pelbagai usaha untuk menaikkan lagi bola sepak wanita.

Menurutnya, selain daripada LWN dan Piala Tun Sharifah Rodziah, FAM mempunyai banyak lagi program lain selepas ini untuk meningkatkan tahap bola sepak wanita.