Tindakan pengurus Terengganu FC hanya akan memecahbelahkan penyokong, jejas persiapan ke final Piala FA

15,522

Baru-baru ini, tular sebuah video yang menunjukkan tindakan pengurus pasukan Terengganu FC (TFC), Haji Mohd Fadhil Wahab membuat perbandingan berkaitan hal agama dan mengaitkan perkara tersebut dengan bola sepak.

Kenyataan tersebut dilakukan menerusi ucapan yang disampaikan di hadapan penyokong pada sebuah sesi bual bicara diberi nama TFC: Road To Champion.


Tindakan tersebut dilihat tidak wajar dilakukan oleh seorang wakil pasukan yang berjawatan seperti beliau.

Lebih tragis, beliau turut memetik pasukan lawan sebagai contoh kepada perbandingan yang dilakukan olehnya.

Hal ini semestinya akan merosakkan imej kelab dan lari daripada matlamat sebenar bola sepak sebagai sebuah sukan yang menyatukan orang ramai.

Pada masa yang sama, ia juga sedikit sebanyak menjejaskan reputasi dan persiapan pasukan Terengganu menjelang perlawanan akhir Piala FA bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada 10 September ini.

Terengganu kini berada dalam momentum yang cukup baik untuk melakukan kejutan ke atas juara bertahan Liga Super itu.

Aksi bertenaga yang dipamerkan sewaktu membenam pasukan Melaka United (MU) FC dengan jaringan besar 5-0 sebelum ini memperlihatkan kesediaan pasukan ini melangkah ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun, persediaan ini sedikit terganggu selepas mereka berkemungkinan tidak dapat menurunkan penjaga gol utama, Rahadiazli Rahalim yang cedera pada perlawanan terakhir.

Meskipun dalam keadaan yang stabil dan baik, pihak pengurusan masih belum dapat memastikan sama ada penjaga gawang tinggi lampai itu mampu beraksi atau tidak.

Seharusnya pihak pengurusan menunjukkan tuturkata serta tingkahlaku yang professional serta mampu menjadi contoh terbaik bukan sahaja kepada penyokong sendiri malah untuk pasukan lain.

Perkara seperti ini hanya akan mengganggu serta merencatkan segala usaha yang telah dilakukan sebelum ini dalam mengangkat pasukan ini ke tahap yang lebih baik.

Terengganu kini cukup cemerlang di Liga Super selepas mencatatkan empat kemenangan berturut-turut untuk berada di tangga keempat di belakang pasukan Negeri Sembilan FC dengan perbezaan tiga mata.

Kali terakhir Terengganu berjaya menjadi juara Piala FA adalah pada tahun 2011 selepas menewaskan pasukan Kelantan FC dengan keputusan 2-1 menerusi jaringan kemenangan yang dihasilkan oleh Nordin Alias pada minit ke-110.

Kejayaan di pentas akhir tahun ini bakal menjadi pembakar semangat terbaik kepada para pemain untuk terus beraksi cemerlang dalam baki saingan Liga Super sebelum meghadapi cabaran yang lebih besar di Piala Malaysia pada penghujung musim ini.