Kelab utara didakwa sudah dua bulan tidak bayar gaji pemain Piala Belia

3,318

Isu tunggakan gaji pemain bola sepak tempatan kembali menjadi hangat baru-baru ini selepas dua kelab Liga Super iaitu Sarawak United FC dan Melaka United FC dilaporkan mempunyai tunggakan gaji beberapa bulan.

Bukan sahaja dua pasukan itu, jauh di utara, sebuah kelab ternama juga kini didakwa gagal melunaskan bayaran gaji buat pemain Piala Belia.


Menerusi perkongsian daripada salah seorang sumber, dia mengatakan bahawa para pemain B-19 kelab itu sudah tidak dibayar gaji kira-kira dua bulan.

Katanya, kali terakhir kelab membayar gaji adalah pada bulan Julai, itu pun bagi pembayaran untuk gaji bulan Jun.

Menurutnya, walaupun gaji yang diberikan kepada para pemain tidak begitu tinggi nilainya, kira-kira RM1,200, pihak pengurusan masih gagal melunaskan pembayaran.

Mungkin perkara ini tidak digembar-gemburkan kerana pemain yang terlibat adalah daripada skuad bawah umur tetapi ia harus diberi perhatian memandangkan kelab itu menggaji beberapa pemain import yang sudah tentu dibayar gaji yang jauh lebih tinggi.

Sekiranya, kelab mampu membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membayar seorang pemain import, jumlah RM1,200 tidak sepatutnya menjadi masalah buat kelab.

Adakah kelab tersebut hanya memberi perhatian kepada skuad utamanya sahaja dan langsung tidak kisah mengenai kebajikan skuad bawah umur?