Kehadiran E. Elavarasan di aksi Liga M3 cetus tanda tanya, mulakan pencarian pemain perkuat skuad B-23 negara

562

Kelibat ketua jurulatih skuad B-23 negara yang baru dilantik, E. Elavarasan telah dikesan sewaktu aksi separuh akhir pertama Liga M3 2022 di antara pasukan PIB FC menentang Imigresen FC pada Sabtu lalu.

Beliau turut membawa pembantu jurulatih, Juan Torres serta dua jurulatih dari Korea Selatan, Park Ji-hyeon serta Lee Je-yoon bagi menyaksikan perlawanan tersebut.


Kehadiran Elavarasan menimbulkan tanda tanya kerana jarang berlaku seseorang ketua jurulatih pasukan kebangsaan turut memantau permainan pasukan di liga seperti M3.

Menarik untuk semua peminat menantikan dapatan yang berjaya diperoleh daripada kunjungan tersebut dalam membantu barisan kejurulatihannya menghasilkan sebuah skuad yang berkualiti.

Namun, perlu diperakui terdapat ramai bintang muda berbakat yang boleh dikesan daripada liga tersebut.

Pasukan seperti PIB FC merupakan salah sebuah kelab semi-pro yang memiliki ramai pemain muda berbakat.

Walaubagaimanapun, kebanyakan daripada mereka yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan tersebut termasuk beberapa aksi yang lain sebelum ini merupakan pemain yang sudah melebihi had umur B-23.

Untuk mereka dipanggil mewakili skuad utama negara mungkin masih jauh dan tidak realistik kerana kurang pengalaman bersaing di peringkat yang tinggi.

Tetapi, ia juga boleh dikira sebuah perkembangan yang baik kerana kualiti pemain-pemain yang beraksi di Liga M3 sudah mula menarik minat dari ramai pihak.

Peningkatan kualiti permainanan bermula dari liga bawahan seperti ini akan memberi kesan jangka masa yang panjang kepada pembangunan bola sepak negara di masa hadapan.

Dalam pada itu, Elavarasan dilihat telah memberikan komitmen sepenuhnya selaku ketua jurulatih meskipun baru dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1 September baru-baru ini.

Terdahulu, beliau juga telah melakukan perbincangan dengan seorang lagi jurulatih skuad muda, Hassan Sazali tentang beberapa orang pemain dari skuad B-19 yang boleh diserap masuk ke dalam skuad B-23 negara.

Beliau memilki tanggungjawab yang besar dalam membina skuad terbaik bagi membolehkan misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dapat dicapai.

Pengendali berusia 60 tahun tersebut perlu menggunakan pengalaman beliau sebelum ini untuk mengembalikan kehebatan pasukan muda ini yang sebelum ini gagal beraksi dengan cemerlang.

Skuad B-23 negara mengalami kemurudan prestasi selepas gagal di temasya Sukan SEA Hanoi serta tewas ketiga-tiga perlawanan di Piala Asia B-23 tahun ini.

Pada masa yang sama, Elavarasan akan terus memikul tanggungjawab selaku pembantu jurulatih kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon bagi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan King’s Cup bulan ini sebelum bertanding dalam Piala AFF Disember nanti.

Diharap agar pasukan negara dapat memperagakan aksi yang cemerlang pada kedua-dua kejohanan sebelum melangkah ke saingan Piala Asia tahun hadapan.