KL City ada kelebihan dari segi momentum, percaya mampu lakukan kejutan bertemu ATK Mohun Bagan
Wakil tunggal negara di Piala AFC musim ini, Kuala Lumpur City FC memiliki sedikit kelebihan dari segi jumlah perlawanan berbanding lawan mereka di peringkat separuh akhir antara Zon, ATK Mohun Bagan.
Perlawanan terakhir yang dilalui oleh pasukan daripada India itu adalah dalam saingan kumpulan Piala AFC pada Mei yang lalu.
Perkara ini diperakui oleh ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak yang berharap anak buahnya memanfaatkan keadaan ini tatkala mereka dilihat lebih bersedia berikutan aksi yang lebih padat di Liga Super.
“Kelebihan kepada KL City kerana liga mereka belum bermula tetapi perlu diingat pasukan ini adalah sebuah kelab yang lengkap dari segala aspek.
Mungkin mereka tidak berada dalam momentum yang baik, jadi saya harap kita dapat bersaing dengan baik dan memperoleh keputusan positif,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahan pula, beberapa orang pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan seperti Romel Morales dan Jordan Mintah telah kembali cergas.
Kehadiran pemain-pemain penting ini bakal menjadi pelengkap terbaik bagi membolehkan pasukan ini layak ke perlawanan akhir.
“Tiga orang pemain tidak dapat bermain pada perlawanan menentang Sabah FC kerana mereka cedera sewaktu perlawanan menentang PSM Makassar.
Tetapi, semua pemain sudah kembali pulih dan berlatih bersama pasukan seperti biasa.”
Namun, persiapan pasukan ini sedikit terjejas selepas mereka terpaksa merantau dalam tempoh masa yang agak lama ekoran daripada urusan pengesahan dan penerbangan yang mengalami sedikit masalah.
Isu penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas India menjadi punca utama masalah ini berlaku.
“Kami terpaksa merantau 16 jam kerana tidak berjaya mendapatkan penerbangan terus ke India susulan daripada pengesahan minit akhir oleh pihak AFC.
Kerana masalah ini menyebabkan semua jurulatih dan pemain terpaksa menanggung beban.”
Tetapi, Bojan berharap perkara ini tidak akan menjadi masalah besar bagi memastikan semua pemain mengekalkan fokus utama mereka kepada perlawanan.
Pada masa yang sama, beliau akan terus menggunakan senjata rahsianya dalam mencipta strategi terbaik yang mampu melakukan kejutan kepada pasukan lawan seperti yang terjadi sebelum ini pada aksi menentang Viettel FC dan PSM Makassar.
“Taktikal permainan lebih bergantung kepada pasukan lawan, kami akan letakkan taktik berdasarkan corak yang akan digunakan oleh pemain.
Esok mungkin akan jadi sebuah perlawanan yang berbeza, mereka mempunyai lima pemain kebangsaan dan pemain import yang baik.”
Kesemua pemain perlu beraksi dengan cemerlang bagi memastikan kemenangan menjadi milik mereka.
Penyerang pinjaman dari Terengganu FC, Mintah meletakkan harapan tinggi untuk memberi saingan serta melakukan keajaiban pada perlawanan yang akan berlangsung ini.
“Sudah semestinya kita datang ke sini untuk menang, kita mewakili Malaysia dan kami perlu lakukan yang terbaik untuk menang.
Kami tidak boleh pulang dengan tangan kosong selepas merantau jauh, sekurang-kurangnya pulang dengan senyuman.” kata Mintah.
Beliau yang sebelum ini dilihat sedikit bergelut untuk mendapatkan persefahaman dengan rakan sepasukan semakin menunjukkan peningkatan.
Pada perlawanan terakhir di Piala AFC, Mintah muncul sebagai salah seorang penjaring gol pada aksi yang berkesudahan dengan keputusan 5-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
“Sebenarnya saya mengalami kesukaran untuk menyusaikan diri dengan corak permainan pasukan pada awalnya.
Namun, selepas beberapa ketika sebagai seorang pemain kita perlu biasakan diri dan mengikut apa yang jurulatih mahukan untuk pasukan.” tambah Mintah.
ATK Mohun Bagan bakal diperkuat oleh bekas pemain import Kelantan FC, Dimitri Petratos serta abang kepada bintang Juventus, Florentin Pogba.
Selamat maju jaya The City Boys!