Kelab Ligue 1, Troyes sediakan tempat duduk paling ‘unik’ di dunia
Bagi peminat bola sepak yang gemar hadir ke stadium, pemilihan tempat duduk adalah salah satu perkara yang penting kerana mampu mempengaruhi ‘mood’ menyaksikan perlawanan.
Menyaksikan perlawanan daripada ‘grandstand’ atau tempat duduk VIP pastinya menjadi impian peminat bola sepak.
Namun, dalam aksi Ligue 1 antara Troyes dan Rennes yang berlangsung hujung minggu baru-baru ini, dua penyokong yang hadir dilihat menyaksikan perlawanan itu dari tempat duduk yang ‘unik’.
Perlawanan yang berlangsung di Stade de l’Aube itu menyaksikan kedua-dua penyokong itu berendam dalam jakuzi yang diletakkan berhampiran bendera sepakan sudut.
Kedua-duanya dilihat begitu asyik menonton perlawanan sambil meminum minuman keras di tangan.
Namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka memenangi sebarang pertandingan atau membayar untuk mendapatkan servis seperti itu.
Tetapi itu bukanlah kali pertama penyokong diberi keistimewaan untuk menonton perlawanan di dalam jakuzi.
Pada 2018, satu lagi kelab Ligue 1, Caen turut membenarkan penyokong duduk di dalam jakuzi ketika perlawanan menentang Olympique Lyonnais.
Sekiranya ia adalah satu teknik pemasaran oleh kelab, ia sememangnya menjadi kerana gambar kedua-dua penyokong itu berjaya menjadi tular di seluruh dunia.
Mungkin ini adalah satu idea menarik untuk menjana kewangan buat kelab-kelab di Malaysia dengan menyediakan tempat duduk lain daripada yang lain kepada penyokong.