Zulfa Arnis tidak kecewa tewas kepada Selangor FC, pengalaman terbaik bagi para pemain

540

Ketua jurulatih pasukan wanita Kelantan, Zulfa Arnis tidak berasa kecewa dengan kekalahan besar 9-2 yang dihadapi oleh anak buahnya sewaktu berhadapan pasukan wanita Selangor dalam saingan Piala Tun Sharifah Rodziah.

Malah, beliau tetap positif bahawa perlawanan ini akan membuka ruang yang besar kepada pemainnya untuk terus memperbaiki kebolehan pada masa hadapan.


“Seperti kita tahu pasukan Selangor merupakan salah sebuah pasukan pilihan pada tahun ini.

Ini adalah pengalaman yang berharga untuk pemain kami yang kebanyakannya diwakili oleh pemain-pemain baru yang pertama kali bermain di pertandingan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, tiada sebarang sasaran tinggi yang diletakkan kepada pasukan ini tatkala mereka dibarisi oleh pemain yang kurang berpengalaman dan masih cuba menyesuaikan diri.

“Kita memang hanya meletakkan sasaran untuk memperoleh pengalaman dan cuba untuk bersaing supaya mereka dapat memperbaiki pada masa hadapan kerana agak sukar pada permulaan untuk mencari pemain.

Selepas kita berjaya menjadi naib juara di peringkat Liga Wanita Nasional, penerimaan terhadap bola sepak wanita semakin bertambah.”

Selepas ini, mereka dijadual untuk bertemu pasukan dari Borneo, Sarawak yang juga tewas pada perlawanan pertama dengan jaringan besar 7-0 di tangan pasukan pilihan, Negeri Sembilan.

Peluang ini perlu dimanfaatkan oleh Zulfa dan para pemain bagi membolehkan mereka mencuri sekurang-kurangnya tiga mata berharga pada kejohanan ini sebelum bertemu pasukan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir peringkat kumpulan.

“Menyertai pertandingan ini adalah terbesar bagi kami selepas menjadi naib juara di peringkat Zon Utara.

Selepas daripada perlawanan ini, kami akan cuba motivasi balik pemain supaya moral mereka tidak terus merudum dan cuba bermain dengan keadaan yang lebih di perlawanan seterusnya.”

Pasukan Kelantan hadir ke kejohanan ini dengan reputasi selaku naib juara Liga Wanita Nasional (LWN) Zon Utara mengiringi sebuah lagi pasukan, Pulau Pinang yang kecundang di tangan juara LWN Zon Tengah, Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang pada perlawanan pembukaan.

Dengan jadual permainan yang cukup padat, Zulfa perlu memastikan para pemainnya bangkit dari kekecewaan untuk terus menyiapkan diri untuk beraksi pada perlawanan seterusnya.